Sunday, March 12, 2006

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?

Esei ini memenangi Hadiah Galakan Peraduan Menulis Makalah Undang-undang 2005
Anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustake serta Institut Terjemahan Negara.
______________________________________

Tajuk:

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?




Oleh: Wong Hon Wai (B Jurisprudens (Malaya), CLP)
honwai_wong@yahoo.com
19 Oktober 2005


1. Pengenalan
Dalam satu perbicaraan jenayah, penyediaan pertuduhan oleh pihak pendakwa merupakan antara langkah permulaan yang paling kritikal. Kertas pertuduhan akan dibekalkan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan. Fungsi pendrafan pertuduhan ialah memberi notis kepada tertuduh tentang kesalahan yang dipertuduh dan juga membolehkan Mahkamah untuk mengambil perhatian terhadap keterangan atau fakta yang hendak dibuktikan sepanjang perbicaraan.

Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa sesuatu petuduhan haruslah jelas, teratur dan mengikut undang-undang. Kes Lim Beh [1] yang berlaku di Negeri-negeri Selat dan dilaporkan dalam Kyshe’s Law Report pada tahun 1842 telah menghuraikan prinsip bahawa pertuduhan harus dinyatakan secara positif dan tepat untuk membolehkan tertuduh memahami pertuduhan supaya dia dapat bersedia untuk menjawab pertuduhan dengan cara yang terbaik sekali.

Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah [2] turut menyatakan secara prinsipnya bahawa pertuduhan hendaklah mengandungi butir-butir berkenaan dengan masa dan tempat serta orang yang berlakunya kesalahan dengan tujuan memberitahu secara mencukupi kepada tertuduh perkara yang dipertuduh itu.

Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah [3] juga menyatakan sekiranya butiran dalam Seksyen 153 dan 154 tidak memberi notis yang mencukupi terhadap pertuduhan, maka cara bagaimana yang kesalahan itu telah dilakukan hendaklah dinyatakan. Dalam kes AB Malek Atan [4], Mahkamah menyatakan perkataan merogol telah diterangkan di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan, maka pertuduhan di bawah mana-mana cabang di seksyen 375 boleh dihuraikan dalam pertuduhan sebagai “merogol” tanpa perlu mengenalpasti cabang mana kes itu digolongkan. Lanjutan itu, boleh disimpulkan bagi kesalahan seksual selain merogol, adalah perlu untuk menghuraikan cara bagaimana tindakan tersebut berlaku. [5]


Suatu pertuduhan boleh diputuskan sebagai tidak berasas oleh mahkamah perbicaraan seperti yang diputuskan dalam kes Chu Chee Peng.[6] Dalam kes ini, mahkamah perbicaraan menggunapakai Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah dan memerintah pelepasan tertuduh yang tidak terjumlah kepada pembebasan pada peringkat awal kes pendakwa.


Suatu pertuduhan juga boleh dikatakan gagal memenuhi piawaian prima facie pada akhir perbicaraan kes pendakwa ataupun piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan.[7] Dalam kedua-dua keadaan ini, satu perintah pembebasan akan dikeluarkan. Satu perintah pembebasan adalah berbeza dengan satu perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan. Perintah pembebasan akan membolehkan satu belaan autrefois acquit terhadap pertuduhan kesalahan yang sama. Prinsip autrefois acquit ini adalah dijamin di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan. [8]

Sabitan juga boleh diketepikan atas rayuan dan perintah pembebasan dikeluarkan berdasarkan sebab pertuduhan yang cacat seperti yang dihuraikan dalam kes Yeap Sing Hock.[9] Mahkamah yang dirayu juga boleh memberi arahan perbicaraan semula dan kes diremit kepada mahkamah perbicaraan.

Dengan itu, pendrafan pertuduhan menjadi sesuatu yang kritikal bagi mensabit pesalah. Kecukupan butiran dalam pertuduhan merupakan satu persoalan fakta yang harus ditentukan oleh Mahkamah.

Isu kekurangan butiran dalam pertuduhan telah dibangkitkan oleh pembela dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan kesalahan seksual meliwat iaitu kes Dato Seri Anwar Ibrahim. [10] Mahkamah Persekutuan telah menyampaikan keputusan kes tersebut pada 2hb September 2004.

Lanjutan daripada itu, kekurangan butiran dalam pertuduhan turut dibangkitkan oleh pembela dalam satu kes merogol iaitu kes Azahan Mohd Aminallah. [11]Mahkamah Rayuan memberi penghakiman pada 25hb Oktober 2004.

Atas perkembangan terkini ini, makalah ini cuba mengupas isu kekurangan butiran dalam kesalahan seksual dan membuat penilaian kewajaran satu perintah pembebasan dibuat akibat kekurangan butiran tersebut.


2. Butiran masa dan belaan alibi

Dalam kes Ku Lip See (1982) [12], Mahkamah Persekutuan telah diajukan dengan soalan undang-undang iaitu dalam satu kes di mana pendakwa tidak menyatakan secara spesifik masa dan tempat kesalahan dilakukan, samada tertuduh akan dihalang daripada mengemukakan belaan alibi memandangkan kegagalannya untuk memberi notis statutori yang ditetapkan di bawah Seksyen 402A Kanun Tatacara Jenayah.

Fakta kes ini menunjukkan tertuduh telah dipertuduh di bawah kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Butiran kesalahan ialah ia dilakukan pada jam 7pm antara bulan Mei dan Jun 1978 di Kampong Ulu Pandan, Plentong, Johor Bahru. Mahkamah menyatakan butiran tersebut sudah mencukupi untuk tertuduh menjawab pertuduhan dan mengemukakan pembelaan alibi.

Mahkamah menerima pakai tafsiran seksyen 11(8) English Criminal Justice Act yang memberi tafsiran “evidence in support of an alibi” (keterangan meyokong satu alibi) bermaksud keterangan yang mempunyai kecenderungan untuk menunjukkan atas sebab kehadiran defendan di satu tempat tertentu atau masa tertentu, maka ia bukan atau besar kemungkinan bukan berada pada masa dan tempat di mana kesalahan itu dipertuduh.

Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan dengan sebulat suaranya mengesahkan keputusan kes Ku Lip See. Butiran masa dalam kes pertuduhan Dato Seri Anwar Ibrahim ialah kesalahan dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Dalam kes Azahan Mohd Aminallah pula, tertuduh dituduh di bawah 4 pertuduhan merogol anak perempuan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Fakta tarikh pertuduhan-pertuduhan tersebut ialah
· Pertuduhan 1: Pada awal Desember, 1996 lebih kurang 2.30pm
· Pertuduhan 2: Pada satu hari Ahad dalam tahun 1994
· Pertuduhan 3: Pada satu hari Jumaat pada tahun 1996 lebih kurang 1.30pm
· Pertuduhan 4: Pada tahun 1991.

Hakim Gopal Sri Ram HMR telah membuat pemerhatian berikut dalam penghakiman di Mahkamah Rayuan: “Bahawa kekurangan butiran berkenaan tarikh kesalahan telah melemahkan secara keseluruhan atau secara substantif kebarangkalian satu pembelaan alibi yang mungkin dibangkitkan oleh tertuduh.“

Walau bagaimanapun, Hakim Gopal Sri Ram telah menyatakan dengan jelas selanjutnya bahawa penghakiman tersebut tidak mengasaskan satu cadangan sesuatu pertuduhan yang tidak mengandungi tarikh yang spesifik itu cacat dan pesalah wajar dibebaskan. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tertuduh, sabitannya dibatalkan dan hukuman diketepikan dan tertuduh dibebaskan. Asas penghakiman ini ialah terdapat kesilahan-kesilapan kritikal lain dalam perbicaraan yang telah menyebabkan kegagalan atau salah terlaksana keadilan. Memandangkan tertuduh telah pun dipenjara selama tujuh tahun dan pertuduhan asal telah dilakukan lapan tahun dahulu, maka perbicaraan semula tidak diperintahkan.

Dengan ini, melalui rentetan kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan jelas menunjukkan walaupun butiran masa adalah berbentuk satu tempoh masa dan bukan masa spesifik, pertuduhan tersebut tidak cacat walaupun tertuduh mempunyai peluang tipis untuk berjaya dalam belaan alibi. Saya berhujah pertuduhan yang berbentuk tempoh masa juga mempunyai kesan sampingan yang memihak kepada tertuduh memandangkan sekiranya perintah pembebasan diberikan, maka belaan autrefois acquit akan diberikan kepada tertuduh untuk tempoh masa dalam pertuduhan tersebut.



3. Lembaran baru dalam Kes Dato Seri Anwar Ibrahim
Keputusan ketiga-tiga hakim dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim walaupun bersetuju dalam mengesahkan ratio decidendi bagi kes Ku Lip See, tetapi telah berbeza pendapat berkenaan keperluan pembuktian masa sebagai intipati pertuduhan.

Dalam kes ini, dua orang tertuduh dewasa telah dipertuduh atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan. Butiran pertuduhan yang dipinda menyatakan kesalahan tersebut dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Keputusan majoriti yang disampaikan oleh Abdul Hamid Mohamad HMP dan Tengku Baharudin HMR ini menyatakan pertuduhan mengandungi butiran yang mencukupi seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah. Tetapi, keputusan majoriti ini telah melangkau satu langkah lebih jauh dan menyatakan butiran pertuduhan berkenaan masa wajib dibuktikan. Perkataan “The charge shall contain such particulars as to the time…” (Pertuduhan hendaklah mengandungi buitran berkenaan masa…) dalam seksyen 153(1) diputuskan sebagai kewujudan maksud imperatif dan kewajipan, maka dengan itu “time” (masa) dalam seksyen 153(1) ditafsirkan sebagai “date or period” (tarikh atau tempoh) dan ia mesti dibuktikan.

Dalam menyampaikan keputusan menentang pula, Rahmah Hussan HMR pula berbeza pendapat dan menyatakan intipati utama ialah tindakan seksual dan identiti pesalah. Menurutnya, adalah silap untuk menyatakan bahawa tarikh merupakan satu intipati pertuduhan.

Mengikut fakta kes ini, saksi yang juga merupakan rakan sejenayah telah memberikan keterangan bercanggahan berkenaan masa sebanyak tiga kali iaitu bulan Mei 1994 , Mei 1992 dan Januari hingga Mac 1993. Terdapat juga isu pengakuan tertuduh kedua yang dibuat secara bukan sukarela. Oleh itu, dalam ketiadaan keterangan sokongan lain, keputusan majoriti menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh-tertuduh atas keterangan seorang rakan sejenayah. Rayuan tertuduh-tertuduh dibenarkan dan dan mereka dibebaskan.
Saya berhujah kes Dato Seri Anwar Ibrahim ini diputuskan mengikut faktanya sendiri dan tidak mengikat untuk semua kes kesalahan seksual. Sekiranya pembuktian tarikh diperlukan, maka adalah amat mencabar untuk mensabitkan pesalah seksual yang mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang barangkali hanya melaporkan kesalahan kepada orang terdekat beberapa tahun selepas kejadian.

Dalam aspek ini, apa yang dikatakan oleh Hakim Rougier dalam kes English R v Evans [13] harus direnungi. Menurutnya, bagi kes penganiayaan atau kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku pada satu tempoh yang panjang dan berulang-kali, adalah tidak realistik untuk mengharapkan kanak-kanak tersebut untuk mengingati tarikh sebenar. Ini disebabkan oleh peredaran masa dan juga kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk melupai peristiwa yang tidak disenangi. Sekiranya, tarikh sebenar tersebut wajib dibuktikan, ini seolah-olah memberi satu perisai selaku pelindung kepada pesalah daripada hukuman undang-undang.

4. Ujian 2 Peringkat yang dipelopori di Kanada
Saya berhujah kes Mahkamah Agong Kanada, R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) [14] harus dirujuk. Dalam kes kesalahan seksual ini, isu pokoknya ialah samada masa ialah satu elemen asas yang harus dibuktikan secara melampaui keraguan yang munasabah. Ujian yang dipelopori oleh Mahkamah Agong Kanada ini ialah ujian 2 peringkat.

Ujian Pertama: Apabila masa kesalahan tidak dapat ditentukan dengan tepatnya ataupun berkonflik dengan keterangan, maka soalan yang harus ditanya ialah sama ada masa ialah satu elemen asas kepada kesalahan ataupun ia sangat penting bagi kes pembela.

Hanya jika ujian pertama dijawab secara positif, barulah perbincangan diteruskan ke peringkat kedua iaitu samada masa telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Dengan hormatnya, saya berhujah ujian 2 peringkat ini menarik dari segi konsepnya dan memberikan satu huraian yang lebih konkrit berbanding keputusan majoriti kes Dato Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai misalannya, butiran masa kesalahan adalah penting bagi kesalahan rogol secara statutori di bawah Seksyen 375(6) Kanun Keseksaan. Butiran masa kesalahan penting untuk menentukan samada persetubuhan tersebut berlaku sebelum atau selepas umur 16 tahun mangsa. [15]

Satu contoh lain tentang butiran masa sebagai elemen penting dalam kesalahan seksual ialah anggapan undang-undang di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 bahawa seorang budak lelaki di bawah umur 13 tahun tidak berupaya melakukan rogol.

Tambahan pula, butiran masa kesalahan penting bagi penentuan bidang kuasa dan prosedur perbicaraan bagi kes pesalah muda yang berumur kurang daripada 18 tahun. [16] Bagi pesalah muda kategori ini, mereka akan dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Pesalah yang melakukan kesalahan seksual selepas umur 18 tahun pula akan dibicarakan di Mahkamah biasa. Tarikh penentuan ialah tarikh kesalahan dilakukan dan bukan tarikh pertuduhan. [17]

Dalam ketiga-tiga contoh yang saya huraikan tadi, adalah jelas masa adalah elemen penting dalam pertuduhan, maka masa harus dibuktikan secara melampaui keraguan munasabah. Bagi kes-kes di mana masa bukan elemen penting, maka tiada kewajipan untuk membuktikan secara melampaui keraguan munabah. Ia tetap satu jenayah tidak kira bila ia dilakukan.

Di sini, saya ingin mengulangi apa yang diutarakan oleh Hakim Atkin dalam satu kes English berkenaan kesalahan seksual iaitu kes Severo Dossi (1908) [18] iaitu “Sejak dahulu lagi, satu masa yang dinyatakan dalam satu pertuduhan tidak akan akan mejadi satu perkara teras kecuali ia sebenarnya adalah bahagian penting dalam kesalahan yang dipertuduh tersebut”.


5. Kesimpulan
Berbeza dengan England, sistem keadilan jenayah di Malaysia tidak mengamalkan pendekatan penzahiran sebelum perbicaraan Dalam kes-kes kehakiman yang telah diputuskan [19], tertuduh hanya berhak untuk mendapat dokumen-dokumen tertentu sahaja sebelum perbicaraan. Dokumen-dokumen tersebut ialah salinan kertas pertuduhan, laporan maklumat pertama, laporan beramaran tertuduh sendiri dan dokumen-dokumen lain yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Oleh itu, tertuduh bergantung kepada maklumat dalam kertas pertuduhan dan dokumen-dokumen lain untuk menyediakan pembelaannya.

Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah [20] menyatakan kesan kesilapan atau ketinggalan memperihalkan kesalahan butiran tidak boleh dianggap sebagai material, kecuali tertuduh itu sebenarnya telah terkeliru oleh sebab kesilapan atau ketinggalan itu.

Seksyen 153(1), Seksyen 154 dan dibaca bersama-sama Seksyen 156 sebenarnya mengenakan kewajipan ke atas pihak pendakwa untuk menyatakan butiran pertuduhan demi melindungi hak tertuduh supaya tertuduh dapat menjawab pembelaannya secara mencukupi. Dengan hormatnya, saya berhujah keputusan majoriti Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengenakan kewajipan pembuktian tarikh adalah terhad kepada fakta dalam kes tersebut sahaja.

Adalah menjadi amalan mantap seperti dinyatakan dalam kes R v Saunders [21] bahawa mahkamah rayuan tidak memerintah satu perbicaraan semula dan membebaskan tertuduh sekiranya kes itu telah menunggu selama lebih kurang 4 tahun. Dalam kes Azahan, tertuduh dibebaskan dan tiada perbicaraan semula diperintah berdasarkan pertimbangan bahawa tertuduh telah menjalani pemenjaraan selama 7 tahun.

Sebagai kesimpulan, kekurangan butiran masa per se dalam pertuduhan kesalahan seksual ini sebenarnya tidak mewajarkan pembebasan tertuduh. Perintah pembebasan hanya wajar sekiranya pendakwa gagal mencapai piawaian prima facie pada akhir kes pendakwa atau piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan di mana terdapat kecacatan dari segi intipati pertuduhan seperti membuktikan kemasukkan zakar, pembuktian umur mangsa dalam kes rogol statutori atau identiti pesalah.




Bibliografi

[1] Lim Beh & Ors. v. Opium Farmer[1842] 3 KY 10 c.t 12 per Nowis RJ.

[2] Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah: Particulars as to time, place and person
“(1) The charge shall contain such particulars as to the time and place of the alleged offence and the person, if any, against whom or the thing, if any, in respect of which it was committed as are reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged”

[3] Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah: When manner of committing offence must be stated:
“When the nature of the case is such that the particulars mentioned in section 153 and 154 do not give the accused sufficient notice of the matter with which he is charged, the charge shall also contain such particulars of the manner in which the alleged offence was committed as will be sufficient for that purpose”

[4] AB Malek Atan lwn Pendakwa Raya [2002] 6 CLJ 405

[5] Contoh pertuduhan Seksyen 377B Kanun Keseksaan – persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii – memasukkan zakar ke dalam mulut atau dubur

Contoh pertuduhan Seksyen 377D – melakukan perbuatan kelucahan melampau -- dengan mnghisap kemaluannya.

[6] Chu Chee Peng lwn Pendakwa Raya [1973] 1 LNS 18

[7] Looi Kaw Chai lwn Pendakwa Raya [2003] 1 CLJ 734 dan Balachandran lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 85

[8] Artikel 7(2) Perlembagan Persekutuan:
“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan…. tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga kecuali jika…. pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintah oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebas”

[9] Yap Sing Hock lwn Pendakwa Raya [1993] 1 BLJ 35

[10] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2004] 3 CLJ 737

[11] Azahan Mohd Aminallah lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 374

[12] Ku Lip See lwn Pendakwa Raya [1982] 1 MLJ 194

[13] R v Evans [1995] Crim LR 245

[14] R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) 2 S.C.R

[15] Jamaluddin Hashim lwn Pendakwa Raya [1999] 3 CLJ 640 dan Mohd Salleh Mk Mohd Yusof lwn Pendakwa Raya [2005] 2 CLJ 655

[16] Seksyen 2(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan seorang kanak-kanak ialah
(a)Seorang yang di bawah umur 18 tahun dan
(b) Dalam perkara berkenaan prosiding jenayah, seorang yang telah mencapai umur tanggungjawab jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 82 Kanun Keseksaan.

[17] Baljit Singh Sidhu, An Overview of the Child Act 2001 and the Criminal Procedure Aspects, [2003]2 MLJ xlix.

[18] Hakim Atkin dalam kes Severo Dossi 13 Cr. App. R158
“From time immemorial a date specified in an indictment has never been a material matter unless it is actually an essential part of the alleged offence”

[19] Laporan Forum Hak Untuk Satu Perbicaraan Yang Cepat dan Adil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada 7-8 April 2005.

[20] Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah: Effect of errors
“No error in stating either the offece or the particulars required to be stated in the charge, and no omission to state the offence or those particulars, shall be regarded, at any stage of the case, as material unless the accused was in fact misled by that error or omission.”

[21] R v Saunders – [1974] 58 Cr App R 248

0 Comments:

Post a Comment

<< Home