Saturday, April 12, 2008

My service center at Air Itam is operational now



My ADUN service center at Air Itam is operational now.

Location:607G-1, Jalan Balik Pulau, Air itam.
Monday to Friday: 9am to noon, 2pm to 4pm.
Tuesday and Friday Night 8pm to 10pm.


黃漢偉服務中心設立在亞依淡極樂寺山腳下大伯公旁的711便利店樓上,他說,即日起他的服務中心全面投入服務,歡迎人民針對任何民生問題前來投訴,如果他的能力範圍內做得到,他一定會設法去改善和解決。
同時,黃漢偉也宣佈,他即日起委任在政府事務中擁有42年經驗的鄭重光擔任選區特別助理,以協助改善選區內各種問題,選民若有什麼問題,也可以直接聯絡他本身或者他的助理鄭重光。
他說,這個服務中心的前身是他的律師事務所,後來,在大選期間,就改成競選中心,大選過後就成為他的服務中心,全面的為人民投入服務。
他披露,服務中心的開放時間時週一至週五早上9時至中午12時,下午2時至4時,此外,週二和週五晚上8時至10時也開放接見民眾。
他指出 ,事實上,在3月8日投票日過後,他的服務中心雖然還沒有設立,但他本身已經投入服務,許多選民包括選區以外的選民也通過預約方式上來他的辦公室,以反映他們面對的各種問題,而他也盡力去解決這些問題。
他強調,問題不分大小,只要是人民的問題,他都願意協助他們解決。
黃漢偉同時也是檳州行政議員,他掌管城市及鄉村規劃、房屋委員會,在剛剛過去的第12屆大選,首次上陣即獲得人民的委託而中選州議員。
他表示,他不會辜負人民的期待,將會一一的實現他在大選前許下的承諾
___________
亞依淡區州議員黃漢偉服務中心
地點:607G-1jalan balik pulau air itam
(極樂寺山腳下大伯公廟旁)
開放時間:週一至週五早上9時至中午12時
下午2時至4時
週二和週五晚上8時至晚上10時
電話:04-8280926
黃漢偉手提電話:0164006821
黃漢偉特別助理鄭重光手提電話:0124933648

Sunday, August 27, 2006

Akta Cukai Pendapatan: Siapa dapat dia dicukai

Akta Cukai Pendapatan: siapa dapat dia dicukai. Bincangkan

Esei ini memenangi Hadiah Kedua, Pertandingan Menulis Makalah Undang-Undang, Anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara bagi tahun 2006.

Oleh Wong Hon Wai
BSc (Comp Sc)(UKM), B Jurisprudence (External) (Malaya), Certificate in Legal Practice (CLP)
Emel: honwai_wong@yahoo.com


1. Pengenalan

Pada abad ke-18, Adam Smith dalam bukunya “Wealth of the Nations” telah menggariskan dua prinsip utama percukaian. Menurut beliau, setiap orang harus dikenakan cukai berdasarkan kedudukan kewangannya. Kedua, cukai individu tersebut haruslah dinyatakan secara spesifik dan tidak harus ada budi bicara secara sembarangan dalam taksiran cukai oleh pihak berkuasa.[1] Prinsip percukaian yang dipelopori oleh Adam Smith itu telah meletakkan asas kepada perundangan percukaian moden

Di Malaysia, cukai pendapatan telah diperkenalkan selepas Perang Dunia Kedua melalui Ordinan Cukai Pendapatan 1947.[2] Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa pada tahun 1957 telah menggariskan cukai di bawah senarai kuasa Persekutuan.[3] Pada tahun 1967, Parlimen Malaysia telah meluluskan Akta Cukai Pendapatan 1967 (selepas ini Akta 53). Akta 53 ini telah memansuhkan perundangan percukaian yang lama dan memperkenalkan satu perundangan cukai pendapatan yang seragam bagi seluruh Malaysia. .

Oleh kerana terdapat penyertaan aktif daripada pihak kerajaan dalam pembangunan sosial, maka kerajaan memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan. Ahli-ahli politik juga kerap kali meninggikan harapan pengundi-pengundi tentang perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh kerajaan. Justeru itu, kerajaan dalam usaha mendapatkan hasil yang lebih banyak terpaksa memperketatkan jaring percukaian. Dengan ini, percukaian menjelma menjadi satu perkara yang kompleks.

Di Malaysia, cukai langsung yang dikenakan adalah ditadbir di bawah perundangan-perundangan berikut iaitu Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Setem 1949 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990.

Makalah ini akan mengkaji hubungkait antara pendapatan yang diperolehi dan percukaian yang ditadbirkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.


2. Perdebatan tentang unsur kesukarelaan dan paksaan dalam percukaian

Cukai dalam konsep moden merupakan suatu sumbangan berbentuk kewangan yang dikenakan oleh negara ke atas rakyatnya untuk kebaikan masyarakat secara umumnya.

John Rawls dalam bukunya “A Theory of Justice” [4] telah menghuraikan unsur keadilan dari segi pembahagian kekayaan. Menurut beliau, sumber sosial mesti dilepaskan kepada kerajaan supaya kerajaan dapat membekalkan khidmat awam kepada masyarakat serta membolehkan kerajaan membahagikan kekayaan demi membantu mereka yang miskin atau kurang upaya. Cara mendapatkan sumber hasil yang dimaksudkan oleh John Rawls adalah melalui percukaian.

Robert Nozick [5] pula menyangkal pendapat John Rawls. Beliau mengibaratkan percukaian dari pendapatan seperti buruh paksaan. Beliau berhujah sekiranya seseorang bekerja untuk memperolehi pendapatan dan membayar cukai berdasarkan kadar peratusan daripada pendapatan, maka kadar yang diterjemahkan kepada masa berkerja adalah kerja paksa yang dikenakan oleh negara. Nozick mempersoalkan tentang rasional pembahagian secara paksaan melalui percukaian. Sebagai alternatifnya, Nozick mengutarakan konsep derma secara sukarela untuk mencapai kesamarataan.

Saya berpendapat percukaian adalah berbeza dari segi buruh paksaan atau penghambaan. Beban kewangan serta hak yang dikongkong oleh buruh paksaan dan penghambaan adalah dalam julat yang berbeza sama sekali dengan percukaian. Tambahan pula, teori Nozick tersebut hanya akan meninggikan jurang pendapatan antara mereka yang berada dengan mereka yang kurang berada. Iaitu, orang kaya akan menjadi lebih kaya, manakala orang miskin menjadi lebih miskin.

Kebanyakan negara mengenakan cukai pendapatan melalui undang-undang untuk membiayai aktiviti pentadbiran negara di samping mencapai tujuan pengaturan sumber masyarakat. Terdapat beberapa negara yang tidak mengenakan cukai pendapatan. Brunei dan Arab Saudi misalnya bergantung kepada hasil daripada petroleum untuk membiayai pembangunan negara. Cayman Islands dan Bahamas pula tidak mengenakan cukai pendapatan tetapi bergantung kepada aktiviti perniagaan luar pesisir pantai untuk menarik pelabur asing. [6]

Pendapat John Rawls iaitu mengenakan cukai pendapatan melalui undang-undang merupakan sesuatu yang dilaksanakan di kebanyakan negara. Terdapat unsur paksaan dalam undang-undang percukaian. Sesiapa yang cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai akan dikenakan penalti undang-undang. Manakala, hujah Robert Nozick pula hanya merupakan satu hujah akademik yang berbentuk utopia semata-mata.

Kadar percukaian pendapatan di Malaysia adalah berbentuk progresif iaitu bagi mereka yang berpendapatan tinggi dikenakan kadar yang tinggi berbanding mereka yang berpendapatan rendah. Kadar maksimum yang dikenakan adalah 28%. Pendapatan seseorang individu sehigga tarikh kematian akan dikenakan cukai sebagai pendapatan individu berkenaan. Kematian tidak melepaskan tanggungjawab cukai. Pendapatan yang terakru atau diperoleh selepas tarikh kematian akan ditaksir atas nama wasi atau pentadbir harta pusaka. Kadar cukai progresif adalah digariskan di bawah Jadual 1 Akta 53. Ini menepati apa yang dihujahkan oleh John Rawls dalam perkongsian kekayaan.



3. Maksim “siapa dapat dia dicukai”


Seksyen 4 Akta 53 menggariskan bahawa pendapatan yang boleh dikenakan cukai adalah pendapatan berkenaan dengan perolehan atau keuntungan daripada suatu perniagaan atau pekerjaaan, dividen, faedah atau diskaun, sewaan, royalti atau premium; pencen, anuiti atau bayaran berkala lain serta peroleh atau keuntungan lain. Takrifan tersebut merangkumi ruang lingkup yang besar.

Skop seksyen 4 ini merangkumi individu serta syarikat. Bagi seseorang yang menerima penggajian, majikannya akan memotong pada setiap bulan potongan bulanan mengikut jadual potongan cukai bulanan seperti yang diperuntukkan di bawah Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994. Kegagalan majikan untuk mematuhi Kaedah 1994 tersebut merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Dengan itu, seseorang yang menerima penggajian membayar cukai melalui majikan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri apabila dia memperolehi pendapatan. Pada akhir tahun taksiran, pembayar cukai hendaklah membuat tafsiran sendiri dan membayar cukai baki yang kena dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Seksyen 4 Akta 53 juga merangkumi pemastautin dan bukan pemastautin. Status pemastautin bagi maksud percukaian adalah tertakhluk kepada tempoh seseorang itu tinggal di Malaysia dan bukannya kepada status kewarganegaraan. Ini menepati aliran pergerakan sumber manusia secara globalisasi seperti yang dikatakan oleh Thomas Friedman dalam buku larisnya “The World is Flat”. [7] Mulai tahun taksiran 2004, pendapatan yang diperoleh dari luar Malaysia dan diterima di Malaysia oleh seseorang individu yang bermastautin dan diremitkan ke Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan.[8] Ini dapat dicapai melalui perjanjian pengelakkan cukai dua kali yang dimenterai antara Malaysia dengan negara-negara lain. Melalui perjanjian tersebut, hak mencukai negara masing-masing ke atas pendapatan yang melepasi sempadan serta kredit cukai atau pelepasan cukai bagi tujuan menghapuskan cukai dua kali dapat ditentukan.

Seksyen 13 Akta 53 pula menggariskan peruntukan am mengenai pendapatan daripada pekerjaan. Manfaat berupa barangan yang diperuntukkan untuk kegunaan pekerja seperti kenderaan, pemandu, kelab rekreasi dan rumah adalah dikenakan cukai.

Ketetapan Umum No 1/2006 yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri[9] menyatakan bahawa pendapatan kasar seorang pekerja daripada suatu penggajian di bawah seksyen 13 Akta 53 bukan sahaja terdiri daripada upah, gaji saraan, gaji cuti, fi, komisen, bonus dan ganjaran, malah ia meliputi juga mana-mana perkuisit atau elaun.

Perkuisit diertikan sebagai manfaat dalam bentuk tunai atau dalam bentuk barangan yang boleh ditukar kepada wang yang diterima oleh pekerja daripada majikannya atau daripada pihak ketiga berkaitan dengan mempunyai atau menjalankan sesuatu penggajian. Perkuisit yang diberikan kepada pekerja oleh majikan seperti yuran persekolahan anak dan premium insurans nyawa adalah dikenakan cukai. Ketetapan Umum tersebut berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2005.

Pemberian komputer peribadi daripada majikan kepada pekerja adalah dikecualikan cukai bagi tahun taksiran 2001 hingga 2003. [10] Tetapi, Ketetapan Umum 1/2006 telah menafsirkan pemberian komputer tersebut adalah satu perkuisit and terjumlah kepada pendapatan kasar daripada penggajian.

Ketetapan Umum tersebut merupakan satu usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengembangkan asas percukaian dengan merangkumi manfaat-manfaat yang didapati daripada penggajian. Manfaat-manfat penggajian telah dikenakan cukai dengan lebih luas lagi berbanding dengan dahulu. Sebagai kesimpulannya, Malaysia telah mengikuti jejak langkah negara-negara maju lain dengan meluaskan asas percukaian daripada penggajian. [11]

Walau bagaimanapun, ketetapan Umum bukan merupakan undang-undang. Ia merupakan tafsiran Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadap Akta 53. Seseorang pembayar cukai boleh mencabar tafsiran tersebut melalui proses undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian VI Akta 53.

Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa kesahan dari segi undang-undang berkenaan sesuatu pendapatan adalah tidak relevan dalam pertimbangan percukaian. Ini bermaksud, walaupun sesuatu pendapatan adalah hasil daripada aktiviti jenayah, tetapi sekiranya pembayar cukai mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, maka ia akan diterima sebagai pendapatan. Dengan perkatan lain, seorang penjenayah mempunyai liabiliti cukai sama seperti seorang peniaga yang jujur.

Di bawah skim percukaian di Malaysia, tidak terdapat kemungkinan berlakunya pertindihan di antara cukai yang perlu dibayar di bawah Akta Cukai Pendapatan dengan akta-akta lain. Mahkamah dalam kes MR Properties Sdn Bhd memutuskan bahawa cukai keuntungan harta tanah hanya dikenakan dalam situasi di mana cukai pendapatan tidak terpakai. Seseorang pembayar cukai hanya perlu membayar salah satu daripada cukai seperti yang ditentukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tidak perlu untuk membayar kedua-dua cukai bagi pendapatan yang sama. [12]










4. Penyimpangan daripada maksim “siapa dapat dia dicukai”


Maksim “siapa dapat dia dicukai” bukannya satu prinsip saintifik yang selalu betul. Terdapat beberapa penyimpangan daripada maksim ini. Antara lain ialah pendapatan kurang daripada julat tertentu, pengecualian statutori dan perolehan yang tidak terjumlah kepada pendapatan.

4(a) Pendapatan kurang daripada julat tertentu

Mengikut Jadual 1 Akta 53, bagi individu-individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang daripada RM2500 bagi sesuatu tahun taksiran, maka mereka akan dikecualikan daripada cukai. Angka RM2500 ini diperolehi daripada pendapatan sebenar selepas ditolak potongan-potongan yang dibenarkan di bawah Akta 53.





4(b) Pengecualian Statutori

Bahagian 1 Jadual 6 bagi Akta 53 telah menggariskan jenis pendapatan yang dikecualikan. Terdapat 36 kategori pendapatan yang dikecualikan daripada cukai.

Antara kategori pendapatan yang dikecualikan cukai ialah ganjaran persaraan, ganjaran kematian, ganjaran yang dibayar kepada pegawai kontrak dan ganjaran yang dibayar kepada pekerja dari kumpulan wang awam. Di samping itu, emolument kepada keluarga diraja, pendapatan pelbagai peringkat kerajaan serta pegawai diplomatik dan konsular juga dikecualikan cukai.

4(c ) Perolehan yang tidak terjumlah kepada pendapatan

Selain 36 kategori yang tersurat jelas dalam Jadual 6, terdapat kategori perolehan wang yang bukan tergolong dalam pendapatan yang membawa liabiliti cukai. Keuntungan modal di pasaran saham, perolehan wang hasil loteri, pampasan oleh kerajaan akibat bencana alam, hadiah wang kerana berjaya merentasi Selat Inggeris misalnya [13] bukan kelas pendapatan yang boleh dikenakan cukai seperti yang diertikan di bawah Sekyen 4 Akta 53.

Pampasan yang diterima berkaitan dengan pengambilan tanah secara paksa oleh Kerajaan juga bukan merupakan keuntungan daripada aktiviti perniagaan seperti yang diertikan dalam seksyen 4(a) Akta 53. [14] Sesuatu aktiviti perniagaan memerlukan niat untuk berniaga. [15] Terdapat elemen paksaan dalam pengambilan tanah, maka ia telah melemahkan niat berniaga. Dengan itu, tiada cukai dikenakan ke atas pampasan tersebut.











5. Tafsiran Kehakiman terhadap undang-undang percukaian

Sistem percukaian di Malaysia telah menggunakan sistem taksiran sendiri hasil daripada Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) 2002. [16] Ekoran daripada sistem tafsiran sendiri tersebut, pembayar-pembayar cukai adalah bertanggungjawab untuk memahami kandungan Akta 53 serta Ketetapan Umum yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Cukai merupakan satu ciptaan statut. Terdapat satu maksim dalam undang-undang percukaian iaitu sekiranya tidak ada peruntukan jelas, maka tidak boleh dikenakan cukai. [17] Anggapan, ekuiti dan niat tersirat tidak terpakai terhadap cukai. [18] Terdapat keputusan kehakiman yang menyatakan bahawa jika terdapat keraguan dari segi peruntukan undang-undang, maka ia hendaklah menyebelahi pembayar cukai. [19]

Dalam kes National Land Finance Co-operative Society yang diputuskan pada tahun 1994, Mahkamah Agong memutuskan tafsiran literal terhadap undang-undang percukaian harus dipakai iaitu pertimbangan harus dilakukan ke atas perkataan-perkataan jelas sesuatu peruntukan. Tujuan, objek atau niat sesuatu Akta tidak termasuk dalam pertimbangan Mahkamah.


Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa dalam penafsiran satu peruntukan yang mengenakan liabiliti cukai, beban adalah pada pihak pembayar cukai untuk membuktikan taksiran tersebut adalah berlebihan atau khilaf ataupun dia berhak kepada potongan atau pengecualian. [20]

Pada tahun 2005, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa tafsiran secara tujuan atau purposif harus digunakan seperti yang diputuskan dalam kes Palm Oil Research and Development Board Malaysia. Hakim Dato Gopal Sri Ram menyatakan bahawa dalam pentafsiran statut percukaian, fungsi utama mahkamah ialah untuk mendapatkan niat Parlimen yang sebenar. Di dalam proses ini, pendekatan yang digunakan adalah pertama untuk mengelakkan ketidakadilan atau kedangkalan dalam tafsiran serta kedua untuk mempromosikan tujuan yang membayangi statut berkenaan walaupun tujuan atau objek tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam statut. [21]

Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut telah mengikuti prinsip yang diutarakan dalam kes WT Ramsay Ltd yang diputuskan oleh House of Lords, England. [22] Prinsip Ramsay ialah tafsiran terhadap perkataan-perkataan jelas tidak terhad kepada pendekatan literal. Ia juga dipertimbangkan dari segi konteks sesuatu Akta dan tujuan sesuatu Akta. Pendekatan ini penting memandangkan transaksi perniagaan sekarang telah menjadi semakin kompleks. Mahkamah mempunyai tugas untuk meneliti rentetan transaksi untuk melihat niat transaksi dari segi undang-undang dan menentukan samada liabiliti cukai dikenakan. Pendekatan ini menolak tafsiran literal yang ketat yang dikenakan ke atas perundangan percukaian sebelum ini seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agong di kes National Land Finance Co-operative Society.

Mahkamah Persekutuan telah mengambil kira pindaan terhadap Akta Tafsiran (Pindaan 1997) berkenaan seksyen 17A yang membolehkan tafsiran melalui tujuan.

Tafsiran secara tujuan tersebut merupakan satu tafsiran yang mengimbangkan kepentingan pembayar cukai dan kepentingan kerajaan selaku pemungut cukai. Ini menepati apa yang dikatakan oleh Hakim Gun Chit Tuan, secara obiter dictum dalam kes National Land Finance Co-operative Society Ltd bahawa Mahkamah menyedari hasil daripada cukai penting untuk membolehkan kerajaan mentadbir negara ini dan Mahkamah harus membantu mengutip cukai. Tetapi, pada masa yang sama, Mahkamah harus juga bertindak adil terhadap pembayar cukai.















6. Kesimpulan


Adalah tidak salah dari segi undang-undang apabila seseorang pembayar cukai atau syarikat menguruskan urusan mereka demi mengurangkan liabiliti cukai melalui cara yang sah. [23] Dengan perkataan lain, perancangan cukai adalah sah. Perancangan cukai adalah berbeza dengan pelarian cukai atau pengelakkan cukai yang menyalahi undang-undang.

Walau bagaimanapun, Lembaga Hasil Dalam Negeri juga boleh menggunakan kuasanya untuk memperketatkan undang-undang percukaian supaya dapat mengembangkan asas percukaian demi menambah hasil.

Sistem percukaian di Malaysia akan memasuki satu era yang baru melalui pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang bakal menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Ini akan membawa kepada penjelmaan daripada konsep “siapa dapat dia dicukai” kepada konsep “siapa belanja dia dicukai”.





Bibliografi

[1] Richard A. Toby, The Theory and Practice of Income Tax, Sweet and Maxwell, 1978, ms151.

[2] Sim Ewe Eong, An Introduction to Tax Appeals in Malaysia, Malayan Law Journal Pte. Ltd, 1981.

[3] Senarai 1(7)(h), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

[4] John Rawls, A Theory of Justice (Revised Edition), Harvard Universitiy Press, 1999, ms247.

[5] Robert Nozick, Anarchy, State and Utopia, Oxford: Basil Blackwell, 1974, ms169.

[6] Income Tax, Wikipedia http://en.wikipedia.org/wiki/Income_tax

[7] Thomas L. Friedman, The World is Flat: The Globalized World in the Twenty-First Century, Penguin Books, 2006.

[8] Laman Web Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia http://www.hasil.org.my/melayu/bm_NO2_1_1A_prn.htm


[9] Ketetapan Umum 1/2006 di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri
http://www.hasil.org.my/melayu/pdf/KU012006.pdf


[10] P.U. (A) 503, Perintah (Pengecualian) Cukai Pendapatan (No 56) 2000 bertarikh 22 Disember 2000.

[11] Sijbren Acnossen and Richard M. Bird (Eds), The Personal Income Tax: Phoenix from the Ashes, Elsevier Science Publishers, 1990.

[12] MR Properties Sdn Bhd lwn Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri [2005] 7 MLJ 260.

[13] Ketetapan Umum 1/2006 di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri
http://www.hasil.org.my/melayu/pdf/KU012006.pdf


[14] Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri lwn Penang Realty Sdn Bhd http://www.kehakiman.gov.my/jugdment/coa/latest/W-01-10-1997.htm
Mahkamah Rayuan.

[15] Simmons v Inland Revenue Commissioners [1980] 2 All E.R. 798.

[16] Choong Kwai Fatt, The Rule of Interpretation of Tax Statutes: A Malaysia Perspective [2002] 4 MLJ clxxxiii.

[17] Exxon Chemical (M) Sdn Bhd lwn Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri [2006] 1 MLJ 428, Mahkamah Rayuan.

[18] Cape Brandy Syndicate v Inland Revenue Commissioner 12 TC 358.

[19] National Land Finance Co-operative Society Ltd lwn Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri [1994] 1 MLJ 99. Mahkamah Agong.

[20] T. Haythornwaite & Son Ltd v Kelly (1927) 11 T.C.


[21] Palm Oil Research and Development Board Malaysia lwn Premium Vegetable Oils Sdn Bhd [2005] 3 MLJ 97. Mahkamah Persekutuan.

[22] WT Ramsay Ltd v Inland Revenue Commission [1982] AC 300. House of Lords.

[23] Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri lwn Rakyat Berjaya Sdn Bhd [1984] 1 MLJ 248. Mahkamah Persekutuan.

Sunday, March 12, 2006

Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung bagi pemberi dan penerima

** Esei ini Memenangi Hadiah Tempat Kedua Pertandingan Menulis Makalah Undang-undang dalam Bahasa Malaysia anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara Tahun 2004 **

Tajuk:

Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung
bagi pemberi dan penerima?

Oleh: Wong Hon Wai
29 Julai 2004



Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung
bagi pemberi dan penerima?
1: Pengenalan
Gejala rasuah bukan suatu fenomena yang baru. Sejarah rasuah boleh disusuri ke masa manusia mulai membentuk masyarakat bersosial sejak beribu-ribu tahun lalu. Dr Syed Hussein Alatas dalam kajiannya telah mengupas kejadian rasuah di peradaban lama seperti Roman, Greek dan Cina.[1]

Amalan rasuah ditegah oleh agama Islam. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)“ [2]

Secara ringkasnya, gejala rasuah yang menular bukan sahaja menghakis kemoralan sesuatu masyarakat, mencabuli hak sosial dan ekonomi golongan miskin dan terpinggir, mencabar keluhuran undang-undang dan kesannya ialah pembangunan masyarakat yang terbantut. [3]
Esei ini akan mengkaji perundangan semasa Malaysia dalam menangani gejala rasuah serta membincangkan samada hukuman gantung adalah sesuai dan efektif dalam membendung gejala rasuah.

2: Kawalan Undang-undang terhadap Rasuah

Kawalan undang-undang terhadap rasuah adalah melalui penguatkuasaan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat No 22, 1970, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967. [4]

2.1 : Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575)
Akta 575 merupakan Akta yang paling utama dalam menangani rasuah. Akta 575 ini adalah bertujuan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Banda Pencegah Rasuah 1982 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22 tahun 1970 (Ordinan 22). [5]

Kesalahan utama adalah dikanunkan di bawah Bahagian III Akta 575. Seksyen 10 Akta 575 memperuntukkan kesalahan menyetuju terima suapan. Seksyen 11 pula berkenaan kesalahan memberikan atau menyetuju-terima suapan oleh ejen. Seksyen 12 memperuntukkan bahawa penerima atau pemberi suapan adalah bersalah walaupun maksud tidak terlaksana atau perkara tidak ada hubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipal. Seksyen 13 pula berkenaan kesalahan mendapatkan penarikan balik tender secara rasuah. Penyogokan pegawai badan awam diperuntukkan oleh Seksyen 14. Seksyen 15 pula berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan.

Suapan pula diberi definisi yang luas di bawah seksyen 2 dengan merangkumi bentuk kewangan atau bukan kewangan. Antara kategori suapan bukan kewangan ialah jawatan dan kebesaran.

Seksyen 14 memperuntukkan secara spesifik kesalahan berkenaan penyogokan pegawai badan awam. Seksyen-seksyen lain tidak terhad kepada pengawai badan awam tetapi termasuk juga sektor swasta.

Dari segi ini, dalam kes William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [6], mahkamah memberikan tafsiran terhadap “pegawai badan awam“ di bawah seksyen 2 iaitu “mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai,pekerja atau pengkhidmat sesuat badan awam dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam “. Mahkamah memutuskan “dan“ hendaklah ditafsirkan sebagai disjunktif. Pembuktian salah satu elemen cukup untuk memenuhi intipati pegawai badan awam. Mahkamah memutuskan pegawai polis bantuan ialah pegawai badan awam memandangkan ia memenuhi elemen “menerima saraan dari wang awam“. Tafsiran ini telah memperluaskan ruang lingkup pemakaian seksyen 14.
2.2 : Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22, 1970 (Ordinan 22)

Ordinan 22 ini merupakan satu lagi undang-undang yang penting dalam menangani rasuah. Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [7], Mahkamah Persekutuan menyatakan Ordinan 22 masih lagi berkuatkuasa memandangkan Dewan Negara belum lagi meluluskan resolusi untuk membatalkannya walaupun Dewan Rakyat telah berbuat demikian. Mahkamah juga menerangkan bahawa matlamat Ordinan tersebut adalah luas sehinggakan boleh mendakwa ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai awam yang telah menyalahgunakan kedudukan atau jawatan awam mereka untuk manfaat kewangan atau manfaat lain bagi diri mereka sendiri.

2.3 : Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5)
Seksyen 10 dan Seksyen 11(b) Akta 5 menerangkan intipati kesalahan penyogokan sebagai satu perbuatan rasuah.
2.4 : Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967

Terdapat beberapa seksyen di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tentang kesalahan rasuah iaitu seksyen 161 hingga 165, 213 dan 215. Begitu juga dengan seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan tentang kesalahan menerima rasuah.

Saya berhujah Akta 575 telah merangkumi kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kastam. Saya mencadangkan seksyen-seksyen tersebut harus dimansuhkan dengan peruntukan peralihan.


3. Pihak yang terlibat dalam rasuah
Dr Syed Hussein Alatas telah mengambil pendekatan sosiologi dalam mengkaji gejala rasuah. Beliau telah membuat klasifikasi berkenaan 7 jenis rasuah iaitu berbentuk transaktif, pemerasan, defensif, pelaburan, nepotisme, autogenik dan sokongan. [8]

Definisi rasuah dalam Akta 575 adalah kombinasi model-model yang dicadangkan oleh Dr Syed Hussein Alatas. Dalam model transaksi, kedua-dua pihak saling bersetuju untuk melakukan tindakan rasuah untuk kepentingan kedua-dua pihak. Dalam model pemerasan pula, pemberi rasuah bertindak memberi rasuah untuk mengelakkan bencana ke atas dirinya. Model autogenik merujuk kepada keadaan di mana hanya seorang sahaja yang terlibat dalam rasuah iaitu menyalahguna kedudukannya untuk mengaut keuntungan.

Di samping itu, seksyen 20 Akta 575 memperuntukkan orang-orang yang terlibat dalam percubaan, persediaan, persubahatan dan komplot rasuah akan dikenakan hukuman yang sama.

Sementara itu, pihak ketiga yang terlibat dalam pengubahan wang haram di mana harta itu adalah akibat perbuatan rasuah juga boleh dihukum di bawah seksyen 4 dibaca bersama seksyen 3 dan Jadual 2, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).

Secara ringkasnya, sabitan terhadap jenayah rasuah tidak dihadkan kepada pemberi atau penerima sahaja tetapi memrangkumi pihak ketiga seperti yang diterangkan di atas.

Oleh kerana perbuatan rasuah dilakukan dalam keadaan sulit, maka adalah sukar untuk menyabitkan kedua-dua pemberi dan penerima secara serentak apatah lagi menyabitkan pihak ketiga. Dalam kebanyakan kes, lazimnya satu pihak sahaja yang dikenakan pertuduhan. Keadaan ini terjadi disebabkan tidak ada saksi yang tampil memberikan bukti atau keterangan di atas perlakuan kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak akan cuba menyembunyikan keterangan berdasarkan kepentingan masing-masing. Pertimbangan biasa dibuat untuk menentukan pihak mana yang dimangsai antara si pemberi dan si penerima itu. Pilihan mempertuduh satu pihak, pada lazimnya, berdasarkan pihak mana yang melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai bukti yang ia tidak bersetuju dan juga ia bukan rakan sejenayah dalam transaksi itu. Di sini, Seksyen 44 Akta 575 memberi perlindungan kepada pemberi rasuah yang menjadi mangsa. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa keterangan ejen provokasi diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding atas sesuatu kesalahan. Tiada saksi boleh dianggap sebagai rakan sejenayah hanya semata-mata kerana saksi itu telah memberikan apa-apa suapan.

Kesulitan yang dialami oleh Pendakwa Raya untuk membuktikan intipati rasuah boleh diilustrasikan dalam kes Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat[9]. Dalam kes tersebut, pihak Pendakwa Raya gagal dalam pembuktian pertuduhan meminta rasuah di bawah Seksyen 10(a)(bb) tetapi berjaya dalam pembuktian menerima rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta 575. Dalam kes tersebut, mangsa telah membuat laporan kepada BPR dan wang perangkap telah digunakan. Mahkamah memutuskan bahawa tuduhan pertama gagal kerana tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa mengenai perbualan telefon yang menjadi intipati permintaan. Anggapan kesalahan di bawah Sekseyn 42(1) terbit apabila tertuduh meminta atau menerima suapan tetapi anggapan tersebut boleh dipatahkan sekiranya terdapat keraguan munasabah.

Dalam kes Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya[10], Mahkamah menyatakan walaupun undang-undang melayan seorang pemberi sama dengan penerima rasuah, tetapi mahkamah mengambil kira fakta kes dalam penghukuman. Dalam kes tersebut, penerima rasuah adalah seorang yang tamak dan telah membelakangi tugas dan kepercayaan awam terhadapnya. Tetapi, pemberi hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu, keberatan hukuman ke atas pemberi adalah kurang berbanding penerima.

Dalam kes New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[11] pula, mahkamah menyatakan takat penghukuman harus berdasarkan perkadaran niat jahat dalam pemikiran pesalah. Mahkamah membezakan si pemberi yang hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan undang-undang kepada si pemberi yang secara aktif memberi rasuah kepada pegawai badan awam tanpa diminta. Menurut mahkamah, kategori kedua ini adalah lebih merbahaya daripada kategori pemberi pertama mahupun penerima rasuah dan harus dikenakan hukuman lebih berat kerana tindakan tersebut menghakis urusan pentadbiran awam.

4. Hukuman terhadap rasuah

Bahagaian III Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) secara intipati adalah sama dengan kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Bahagian II Akta Pencegah Rasuah 1961 (Akta 57). Seksyen 10,11,12,13 dan 14 Akta 575 adalah in pari materia dengan Seksyen 3,4,6,7 dan 9 Akta 57. Seksyen 15 Akta 575 pula mengandungi kesalahan yang sama dengan seksyen 2 Ordinan 22. [12] Satu perbezaan ketara antara Akta 575 berbanding Akta 57 dan Ordinan 22 ialah penalti hukuman pemenjaraan dan denda telah ditingkatkan.

Untuk kesalahan rasuah di bawah Ordinan 22, tiada had pemenjaraan minimum. Dalam kes Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [13], tertuduh disabitkan atas kesalahan Seksyen 2(1) Ordinan 22 iaitu menggunakan kedudukan sebagai pegawai awam untuk keuntungan kewangan, Mahkamah Persekutuan hanya mengenakan hukuman denda RM2000 sahaja.

Di bawah Akta 57 (yang sudah dimansuh), tempoh maksimum pemenjaraan ialah 7 tahun atau denda 10 ribu ringgit atau kedua-duanya. Tiada had pemenjaraan minimum di bawah Akta 57.
Bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucuthakan harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi. Seksyen 36 dan 37 berkenaan dengan pelucuthakan harta yang dibuktikan menjadi hal perkara rasuah.

Penalti pemenjaraan minimum yang dicadangkan semasa Bacaan Kali Pertama dan Kedua Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 di Dewan Rakyat adalah 6 bulan. Tetapi, melalui Kertas Pemberitahuan semasa Bacaan Ketiga Rang Undang-undang tersebut, penalti pemenjaraan minimum dikurangkan menjadi 14 hari. [14] Dengan ini, adalah disimpulkan niat Parlimen ialah mengenakan pemenjaraan minimum yang pendek dan mahkamah diberi budi bicara untuk menentukan tempoh pemenjaraan berdasarkan fakta kes.

Tafsiran terhadap penghukuman di bawah Seksyen 16 Akta 575 dibincangkan dalam kes Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman. [15] Mahkamah Tinggi menafsirkan Seksyen 16 sebagai “mana-mana orang yang didapati bersalah … boleh apabila disabitkan … dipenjarakan dan didenda“. Mahkamah menyatakan pemenjaraan dan denda diharus dibaca secara bersama iaitu tafsiran secara konjuktif. Mahkamah juga turut menambah tafsiran konjuktif sedemikian tidak bermakna bahawa perkataan “boleh apabila disabitkan“ adalah mandatori. Apa yang dimaksudkan ialah Mahkamah masih boleh guna budibicaranya dalam menggunakan kuasa di bawah seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah iaitu pelepasan ikat jamin dengan syarat supaya berkelakuan baik. Tetapi, sekiranya seksyen 16 hendak digunakan, maka kedua-dua denda dan pemenjaraan harus dikenakan bersama. Intepretasi tersebut berdasarkan rujukan terhadap Rang Undang-Undang.

Seperkara yang menarik ialah tiada hukuman sebatan ke atas kesalahan rasuah. Secara umumnya, sebatan hanya dikenakan ke atas pesalah yang menggunakan kekerasan. Di sini timbulnya pengecualiaan apabila Parlimen meluluskan Kanun Keseksaan (Pindaan) 1993 dengan mengenakan sebatan ke atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang (seksyen 403 dan 404), pecah amanah jenayah (seksyen 406-409) dan menipu (seksyen 420). [16] Tiada elemen kekerasan digunakan dalam seksyen-seksyen tersebut. Di bawah Seksyen 288(4) Kanun Prosedur Jenayah, rotan yang digunakan ke atas kesalahan seksyen tersebut ialah rotan halus.


5. Samada Hukuman Gantung ke atas pemberi dan penerima boleh membendung gejala rasuah?

Ahli Juris zaman dulu telah mencuba pelbagai pendekatan untuk membendung gejala rasuah. Undang-undang Hammrabi misalnya telah menetapkan hukuman mati bagi pegawai awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah tertentu. [17] Hukuman mati juga dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah di Cina purba. [18] Walaupun hukuman mati dikenakan, gejala rasuah masih menular.

Saya berhujah berdasarkan pengalaman sejarah, hukuman mati bukanlah satu hukuman yang berkesan untuk membendung rasuah.

Oleh kerana rasuah adalah satu jenayah yang dilakukan secara sulit, maka adalah mustahil untuk mendapatkan perangkaan tentang kes rasuah yang sebenarnya berlaku. Sebagai alternatif, persepsi terhadap kejadian rasuah seringkali digunakan sebagai kayu ukur. Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency International merupakan sumber berwibawa. Indeks tersebut diperolehi dengan soal-selidik untuk mendapatkan perspektif ahli perniagaan asing terhadap rasuah dalam sektor awam.

Kedudukan Malaysia ialah dalam lingkungan 4.8 hingga 5.32 daripada skala 10 bagi tempoh 1996-2003. Kedudukan Malaysia adalah jauh di belakang dengan negara jiran kita, Singapura yang mencapai markah melebihi 9 dan berkedudukan dalam senarai 10 negara yang paling kurang rasuah. [19]

Seksyen 5 Akta Pencegahan Rasuah Singapura [20] memperuntukkan bahawa hukuman am bagi rasuah ialah denda tidak melebihi S$100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Untuk kesalahan spesifik yang dinyatakan dalam Akta tersebut, hukuman pemenjaraan ditingkatkan kepada maksimum 7 tahun.

Tempoh pemenjaraan maksimum kesalahan rasuah di Singapura adalah jauh lebih pendek daripada tempoh maksimum 20 tahun Akta 575 Malaysia. Pengalaman Singapura membuktikan pengurangan gejala rasuah bukan disebabkan oleh hukuman berat sahaja.

Di Malaysia, hukuman mati dikenakan ke atas 4 jenis kesalahan sahaja iaitu kesalahan membunuh (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), mencolek (Seksyen 364 Kanun Keseksaaan atau Seksyen 3(1) Akta Mencolek 1961), memiliki senjata api (Seksyen 57, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) dan pengedaran dadah merbahaya (seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952). [21] Elemen keganasan melampau wujud dalam 3 kesalahan pertama tersebut. Bagi kesalahan mengedar dadah pula, justifikasinya ialah untuk membendung aktiviti sindiket pengedaran dadah supaya bekalan dadah tidak berleluasa sehingga melumpuhkan masyarakat.

Secara umumnya, salah satu objektif hukuman mati adalah berdasarkan konsep balasan iaitu “hutang darah dibayar darah”. Objektifnya ialah membalas balik secara fizikal perbuatan si penjenayah. Saya berhujah kesalahan rasuah tidak boleh digolongkan dalam kategori ini.

Objektif hukuman mati yang lain ialah bertujuan pencegahan secara am iaitu untuk menakutkan mereka yang ada kecenderungan melakukan jenayah dan masyarat secara amnya. Kelaziman hukuman dijatuhkan akan menjadi amaran berterusan kepada masyarakat.
Hukuman mati juga akan mematahkan keupayaan secara kekal. Mereka yang dianggap merbaya kepada masyarakat akan diasingkan secara kekal dengan masyarakat.

Saya berhujah konsep hukuman secara moden adalah berdasarkan pemulihan. Pesalah harus diberi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Hukuman mati tidak memberi peluang kepada pesalah untuk menjadi seorang warga yang baik semula.

Saya juga menyokong hujah bahawa keberkesanan tindakan polis dan pendakwaan untuk memastikan pesalah disabitkan mempunyai impak yang lebih besar berbanding hukuman berat. Dengan perkataan lain, formula pencegahan terhadap berlakunya jenayah ialah kepastian terhadap tangkapan dan hukuman dan bukan keberatan hukuman per se. [22]

Saya turut menyokong hujah bahawa hukuman harus berkadaran dengan kesalahan. Ini kerana tujuan hukuman ialah untuk mengambil kira keuntungan tidak adil yang diambil oleh pesalah. Hukuman setimpal harus dikenakan untuk memusnahkan keuntungan tidak adil yang dinikmati oleh pesalah. Hukuman terlampau berat adalah tidak adil kepada pesalah. [23] Saya berhujah hukuman mati adalah terlampau berat dan tidak adil bagi pesalah rasuah.

6. Kesimpulan

Roscoe Pound menyatakan dalam dunia moden ini, undang-undang telah menjadi alat kawalan sosial yang paling utama menggantikan kemoralan dan agama. [24] Saya berhujah demi untuk membendung rasuah, kawalan bukan undang-undang harus diberi penekanan yang secukupnya.

Kita harus merenungi apa yang dikatakan oleh ahli falsafah Cina, Confucius: “Sekiranya rakyat jelata dikawal dengan undang-undang, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak diheret ke penjara dan mereka tidak akan berasa malu untuk melakukan kesalahan. Jika mereka dididik dengan moral dan etika, maka mereka akan berasa malu untuk melakukan kesalahan dan akan menjadi orang yang baik.” [25]

Di samping penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada, rancangan meningkatkan ketelusan dari segi sistem kewangan, sistem pembekalan dan seumpamanya harus dititikberatkan.

Dalam aspek ini, Kerajaan Malaysia telah menggariskan Pelan Integriti Nasional [26] yang bertujuan untuk menggubal strategi bagi semua sektor masyarakat demi memantapkan nilai etika dan integriti. Pelan ini mempunyai sasaran lima tahun (2004-2008) yang konkrit iaitu untuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dari 5.2 (tahun 2003) ke 6.5 (tahun 2008). [27]

Sebagai kesimpulan, hukuman gantung terhadap pemberi dan penerima rasuah bukanlah formula untuk membendung rasuah. Kita harus menerimapakai nasihat Confucius dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi pendekatan undang-undang dan bukan undang-undang. Dengan ini, barulah kita dapat memupuk nilai integriti sebagai budaya nasional untuk menentang gejala rasuah.


Bibliografi
[1] Syed Hussein Alatas, Corruption: Its Nature, Causes and Functions, S. Abdul Majeed & Co, 1991.

[2] Surah al-Baqarah, ayat 188. http://www.pmo.gov.my/

[3] Lima Declaration Against corruption, 8th International Anti-Corruption 1997 http://www.transparency.org/iacc/lima/e-limadecl.html

[4] Laman Web Badan Pencegah Rasuah, http://www2.jaring.my/bpr

[5] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997, http://www.parlimen.gov.my/

[6] William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [2002] 8 CLJ 1008

[7] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2002] 3 CLJ 457

[8] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms2

[9] Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat [2002] 1 LNS 116

[10] Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya [1974] 1 LNS 105

[11] New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[1982] CLJ 606
[12] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997, http://www.parlimen.gov.my/

[13] Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [1980] 1 LNS 58

[14] Kertas Pemberitahuan Notis tentang Pindaan kepada Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 (Pindaan yang dicadangkan kepada jawatankuasa oleh YAB Timbalan Perdana Menteri), http://www.parlimen.gov.my/

[15] Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman [1998] 4 CLJ 199

[16] Roziah Omar & John Doling (Eds), Issues and Challenges of Social Policy: East and West, University of Malaya Press, 2000.

[17] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms13

[18] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms54

[19] Indeks Persepsi Rasuah , Transparency International, http://www.transparency.org/pressreleases_archive/2003/2003.10.07.cpi.en.html

[20] Prevention of Corruption Act (Singapore) (Chapter 241) http://agcvldb4.agc.gov.sg


[21] Mimi Kamariah, Criminal Procedure in Malaysia, Third Edition, University of Malaya Press, 1999, ms494.

[22] Stanley Yeo Meng Heong, “Mandatory Minimum Sentences: A tying of Judicial Hands” [1985] 2 MLJ clxxxvi.

[23] CMV Clarkson, Criminal Law in Singapore and Malaysia, Malayan Law Journal Ptd Ltd, 1989, ms19.

[24] Roscoe Pound, Social Control Through Law, Transaction Publisher.

[25] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms55.

[26] Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional, 23 April 2004, http://www.pmo.gov.my/

[27] New Straits Times, 27 Julai 2004 ,ms8.

Hak Asasi Manusia: Imbangan Antara Hak Ramai dan Hak Individu

** Esei ini Memenangi Hadiah Tempat Kedua Pertandingan Menulis Makalah Undang-undang dalam Bahasa Malaysia anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara Tahun 2001 **

Tajuk:

“Hak Asasi Manusia: Imbangan Antara Hak Ramai dan Hak Individu”
Oleh: Wong Hon Wai
27 Julai 2001

Mukadimah

Kamus Dewan menakrifkan hak asasi sebagai hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. [i][1] Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih luas.

Di arena antarabangsa, terdapat 3 dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966.

Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia merangkumi tetapi tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

(1) Hak sivil dan politik: Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang.
(2) Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi: Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat.

Ahli falsafah Barat, Rousseau, telah mengemukakan konsep “Kontrak Sosial” pada tahun 1762.[ii][2] Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai.

Benih yang ditaburkan oleh Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam nas-nas perundangan moden. Sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.


Perbezaan Paradigma dalam Konsep Hak Asasi Manusia
Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.
Kumpulan lain juga menerima pakai piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah memaktubkan Konvensyen Europah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia[iii][3] yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa knosep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu[iv][4]. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah. [v][5]

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu ke peringkat kampung dan negara.[vi][6]. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.

Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.

Tinjauan terhadap Perundangan yang melindungi Hak Asasi Manusia di Malaysia

Di bawah Bahagian 2, Perlembagaan Malaysia termaktubnya sembilan kebebasan asasi. Secara umumnya, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan hak individu tetapi tertakhluk kepada syarat-syarat tertentu umpamanya ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.

Kita akan mendapat perspektif yang lebih jelas dengan merujuk secara mikroskopik terhadap salah satu kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Perkara 10 antaranya memberi hak bebas bercakap, mengeluarkan fikiran, berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata serta menubuhkan persatuan kepada semua warganegara Malaysia.

Menurut pandangan seorang ahli akademik, Harding, Perkara 10 sebenarnya bukan memberi hak tersebut tetapi mengambil balik hak tersebut. [vii][7]

Hak-hak yang tersebut di atas sebenarnya tertakluk kepada Perkara 10(2) di mana Parlimen diberi kuasa untuk mengawal hak tersebut dan ia boleh dikurangkan melalui Akta-akta Parlimen berasaskan lapan alasan. Alasan-alasan tersebut ialah kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negeri lain, ketenteraman awam, keistimewaan Parlimen dan Dewan Negeri, penghinaan terhadap mahkamah, akhlak, fitnah atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan suatu kesalahan serta mempersoalkan kedudukan yang dilindungi di bawah Bahagian 3, Perkara 152,153 dan 181.

Kelapan-lapan alasan tersebut boleh dikategorikan secara umumnya di bawah hak ramai. Dengan itu, Perkara 10 walaupun memberikan hak kepada individu tetapi tertakhluk kepada lapan hak ramai.

Jika dibandingkan dengan Konvensyen Eropah mengenai Has Asasi Manusia dan Kebebasan Asasi 1950 yang menggariskan bahawa kebebasan bercakap hanya dibataskan di mana diperlukan di bawah satu masyarakat demokratik, kebebasan bercakap yang diberi di bawah Perlembagaan Malaysia adalah terbatas secara relatifnya.

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, penghayatan hak asasi manusia ialah satu perjalanan dan bukan satu destinasi memandangkan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang statik. [viii][8] Ancaman yang baru akan menimbulkan keperluan yang baru. Dengan peredaran masa, maka satu satu penghayatan semula tentang teori hak asasi manusia diperlukan. Malaysia juga tidak terkecuali daripada perubahan paradigma sejagat.

Di bawah Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), pengertian hak asasi manusia merujuk kepada kebebasan asasi yang termaktub dalam Bahagian II, Perlembagaan Malaysia.

Seksyen 4(4) Akta 597 juga memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna hak asasi manusia yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi dimaktubkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 harus dirujuk setakat tidak berlawan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Secara adatnya, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dianggap sebagai undang-undang antarabangsa yang mengikat. Dengan terteranya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, konsep hak asasi manusia di Malaysia telah diperluaskan sejajar dengan perkembangan sejagat.

Walaupun terdapat 28 perkara di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang menjamin hak asasi individu, terdapat satu klausa khas iaitu Perkara 29 yang menyebut bahawa setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik. [ix][9]

Di bawah Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik, idealisme manusia bebas untuk menikmati kebebasan sivil dan politik hanya dapat dicapai sekiranya memenuhi syarat-syarat asas yang membolehkan seorang menikmati hak sivil, politik, ekomomi, social dan kebudayaan.

Di bawah perkara 4 Kovenan tersebut telah dinyatakan bahawa di bawah keadaan darurat yang mengancam keselamatan negara dan telah diisytiharkan secara rasmi, negara yang menandatangani Kovenan tersebut boleh mengambil langkah mengurangkan obligasinya dalam Kovenan itu tertakluk kepada keperluan semasa dengan syarat langkah-langkah itu bukan tidak konsisten dengan obligasi-obligasi lain di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan diskriminasi atas alasan bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama serta asal-usul seseorang. Dinyatakan juga terdapat hak-hak individu yang tidak boleh dikurangkan dalam apa-apa keadaaan seperti hak terhadap nyawa (Perkara 6), larangan terhadap hukuman berbentuk kejam (Perkara 7), larangan pengabdian (Perkara 8), larangan pemenjaraan atas alasan tidak dapat memenuhi obligasi kontrak (Perkara 11), hak perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakangan (Perkara 15), hak sebagai seorang manusia di bawah apa-apa undang-undang di mana jua (Perkara 16) serta kebebasan agama (Perkara 18). [x][10]

Walaupun piawaian dalam imbangan antara hak ramai dan hak individu adalah berbeza mengikut satu negara daripada negara lain, tetapi terdapat satu perkara yang umum iaitu terdapat peruntukan yang mengiktiraf bahawa hak individu boleh disekat demi kepentingan hak ramai.


Tinjauan terhadap Keputusan Kehakiman yang bersangkutan dengan Hak Asasi Manusia di Malaysia

Bagi individu, mahkamah merupakan harapan terakhir untuk mengutarakan kes pencabulan hak asasi manusia. Dengan meninjau kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah Malaysia, kita dapat menkaji pendekatan cabang kehakiman terhadap imbangan antara hak ramai dan hak individu.

Dalam kes Re Susie Teoh [xi][11], Hakim Mahkamah Tinggi YA Abdul Malek, memutuskan bahawa seorang bapa tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Penjagaan Anak 1961 untuk memilih agama bagi anaknya. Anaknya mempunyai hak di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih agamanya sendiri. Ringkasnya, seseorang bukan Islam yang berumur di bawah umur 18 tahun boleh menentukan agamanya sendiri dan tidak tertakluk kepada kehendak penjaganya.

Tetapi, keputusan ini dibalikkan di Mahkamah Agung.[xii][12] Di Mahkamah Agung telah diputuskan di bawah semua keadaan, demi kepentingan negara yang lebih utama (in the wider interests of the nation), seseorang minoriti[xiii][13] tidak mempunyai hak automatik untuk menerima ajaran berkaitan sesuatu agama tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaganya. Dalam keputusan ini, kepentingan ramai mengatasi hak seorang kanak-kanak untuk memilih agamanya yang dijamin di bawah Perkara 11.

Dalam satu kes yang lain, kes Hajjah Halimatussadiah[xiv][14], mahkamah memutuskan hak seorang kakitangan awam untuk memakai purdah adalah tertakhluk kepada perintah perkhidmatan awam. Dengan ini, hak ramai mengatasi hak individu seorang untuk memilih cara berpakaian demi alasan untuk mengekalkan disiplin di perkhidmatan awam.

Menurut keputusan kes Susie Teoh dan kes Hajjah Halimatussadiah, adalah jelas terdapat kecenderungan untuk memberi tempat yang lebih utama kepada hak ramai daripada hak individu.


Dalam kes Lau Dak Kee lwn Pendakwaraya[xv][15], Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa hak kebebasan bercakap adalah tertakhluk kepada undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

Dalam kes Madhavan Nair lwn Pendakwaraya[xvi][16], Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyoal penggunaan perkataan subjektif seperti “perlu” dan “mustahak” di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan. Selama Parlimen memenuhi keperluan prosedur dalam meluluskan undang-undang untuk mengongkong kebebasan bercakap, maka undang-undang itu tidak dapat dicabar atas alasan terlampau kongkong atau tidak munasabah.

Di bawah Perlembagaan India, terdapat keperluan untuk membuktikan bahawa batasan terhadap hak asasi manusia mesti munasabah. Di Mahkamah Malaysia, ujian yang diguna bukan kemunahsabahan tetapi samada pencabulan hak asasi tersebut adalah d bawah kuasa undang-undang yang dibenarkan. Adalah jelas bahawa kedudukan mahkamah Malaysia dalam kes pencabulan hak asasi manusia adalah berbeza dengan kedudukan mahkamah di India. [xvii][17]
Locus Standi

Dalam memperihalkan hak individu dan hak ramai, kita harus menkaji penerima pakai piawaian locus standi.

Di bawah Common Law, locus standi merujuk kepada hak seseorangan untuk memulakan pembicaraan di mahkamah. Dalam kes England, R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex p. Blackburn[xviii][18], Lord Denning memutuskan akan menidakkan locus standi kepada seseorang penyibuk yang menyentuhi hal yang tidak berkaitan dengannya tetapi akan memberikan locus standi kepada sesiapa yang mempunyai isu benar di mana sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku mempunyai kesan ke atasnya.

Di kes-kes yang diputuskan di Malaysia, , kes Lim Cho Hock lwn Kerajaan Negeri Perak [xix][19], mahkamah telah memutuskan bahawa bahawa plaintiff mempunyai locus standi di bawah alasan beliau mempunyai kepentingan persendirian yang benar untuk membawa kes tersebut.

Walau bagaimanapun, piawaian locus standi yang digunakan tidak dilanjutkan kepada seorang ahli politik walaupun beliau mengemukakan alasan bahawa dia seorang pengguna jalan serta pembayar cukai. Kes United Engineers (M) Berhad lwn Lim Kit Siang [xx][20], mahkamah Aguong memutuskan ahli politik tersebut tiada locus standi.

Dalam kedua-dua kes tersebut, nyata menunjukkan bahawa hak individu adalah dilindungi berasaskan kepentingan persendirian yang sebenar tetapi tidak terpakai untuk seorang wakil rakyat yang membawa kes tersebut berdasarkan kepentingan ramai.

Walaupun kes ini bukan berkenaan pencabulan hak asasi, keputusan tersebut secara tersiratnya bererti remedi terhadap pencabulan hak asasi diberi kepada individu yang mempunyai kepentingan persendirian sahaja.

Penutup:

Di Malaysia, konsep undang-undang [xxi][21] adalah ditakrifkan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Tiada terdapat peruntukan spesifik berkenaan undang-undang antarabangsa di bawah Perkara tersebut. Secara tersiratnya, ini bermakna undang-undang antarabangsa bukan sebahagian daripada sumber undang-undang bagi Malaysia.

Dalam ketika Malaysia berkembang menuju ke arah Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju, seharusnya terdapat satu usaha untuk mengikut arahtuju undang-undang antarabangsa. Undang-undang antarabangsa berkenaan Hak Asasi manusia merupakan satu jurisprudens yang tidak dapat dielakkan sekirannya Malaysia ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Seperti yang dicadangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)[xxii][22], kerajaan harus mengambil langkah untuk menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi terhadap 2 kovenan penting iaitu Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik serta Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.

Salah satu syarat yang harus dipenuhi apabila menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi kedua-dua dokumen penting itu ialah undang-undang domestik Malaysia yang terlalu berpusatkan hak ramai harus diberi kelonggaran.

Dalam satu zaman globalisasi serta perkembangan teknologi yang pesat, model perundangan yang terlalu berpandukan hak ramai tidak dapat memenuhi cabaran zaman. Dalam era ini, hak individu seperti hak terhadap rahsia diri, hak mendapatkan maklumat dan sebagainya harus diberi perhatian baru.

Konsep kontrak sosial yang diutarakan oleh Rosseau 2 abad lalu harus mendapat penghayatan semula. Ruang pergerakan manusia tidak terbatas lagi kepada ruang fizikal. Hari ini, transaksi perniagaan atau pembelajaran boleh dijalankan di Internet tanpa pertemuan fizikal. Apa yang penting ialah pertemuan minda yang tidak mengira ruang fizikal. Dengan itu, konsep hak ramai perlu diberi definisi baru. Satu titik imbangan baru antara hak ramai dan hak individu harus dicari.
[i][1] Kamus Dewan Edisi Baru 1989 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ms 394.
[ii][2] R.H. Hickling, Malaysian Public Law ms 117
[iii][3] Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia (Universal Islamic Declaration of Human Rights) http://ww.alhewar.com/ISLAMDECL.html
[iv][4] Nota Huraian 2: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[v][5] Nota Huraian 3: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[vi][6] Kevin Tan Yew Lee , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991, ms 420
[vii][7] Harding,A. : Law, Government and the Constitution in Malaysia, Malayan Law Journal, 1996 ms 189
[viii][8] Sunday Star December 3, 2000
[ix][9] Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat http://www.unhchr.ch/udhr/lang/mli.htm
[x][10] Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik http://heiwww.unige.ch/humanrts/instree/b3ccpr.hmt
[xi][11] [1986] 2 MLJ 228
[xii][12] Teoh Eng Huat lwn Kadhi, Pasir Mas [1990] 2 MLJ 301
[xiii][13] Mengikut Seksyen 2, Akta Majoriti 1971, seorang yang dewasa ialah mereka yang mencapai umur 18 tahun.
[xiv][14] Halimatusaadiah lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia [1992] 1 MLJ 513 (HC), [1994] 3 MLJ 61 (SC)
[xv][15] [1976] MLJ 229
[xvi][16] [1975]2 MLJ 264
[xvii][17] Kevin Tan Yew Lee , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991 ms 791)
[xviii][18] [1968] 2 QB 241
[xix][19] [1980] 2 MLG 148
[xx][20] [1988] SCR
[xxi][21] Perkara 160(2): “Undang-undang teramsuklah undang-undang bertulis, common law setakat mana ianya berkuatkuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
[xxii][22] Laporan Tahunan 2000 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, ms 28.

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?

Esei ini memenangi Hadiah Galakan Peraduan Menulis Makalah Undang-undang 2005
Anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustake serta Institut Terjemahan Negara.
______________________________________

Tajuk:

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?




Oleh: Wong Hon Wai (B Jurisprudens (Malaya), CLP)
honwai_wong@yahoo.com
19 Oktober 2005


1. Pengenalan
Dalam satu perbicaraan jenayah, penyediaan pertuduhan oleh pihak pendakwa merupakan antara langkah permulaan yang paling kritikal. Kertas pertuduhan akan dibekalkan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan. Fungsi pendrafan pertuduhan ialah memberi notis kepada tertuduh tentang kesalahan yang dipertuduh dan juga membolehkan Mahkamah untuk mengambil perhatian terhadap keterangan atau fakta yang hendak dibuktikan sepanjang perbicaraan.

Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa sesuatu petuduhan haruslah jelas, teratur dan mengikut undang-undang. Kes Lim Beh [1] yang berlaku di Negeri-negeri Selat dan dilaporkan dalam Kyshe’s Law Report pada tahun 1842 telah menghuraikan prinsip bahawa pertuduhan harus dinyatakan secara positif dan tepat untuk membolehkan tertuduh memahami pertuduhan supaya dia dapat bersedia untuk menjawab pertuduhan dengan cara yang terbaik sekali.

Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah [2] turut menyatakan secara prinsipnya bahawa pertuduhan hendaklah mengandungi butir-butir berkenaan dengan masa dan tempat serta orang yang berlakunya kesalahan dengan tujuan memberitahu secara mencukupi kepada tertuduh perkara yang dipertuduh itu.

Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah [3] juga menyatakan sekiranya butiran dalam Seksyen 153 dan 154 tidak memberi notis yang mencukupi terhadap pertuduhan, maka cara bagaimana yang kesalahan itu telah dilakukan hendaklah dinyatakan. Dalam kes AB Malek Atan [4], Mahkamah menyatakan perkataan merogol telah diterangkan di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan, maka pertuduhan di bawah mana-mana cabang di seksyen 375 boleh dihuraikan dalam pertuduhan sebagai “merogol” tanpa perlu mengenalpasti cabang mana kes itu digolongkan. Lanjutan itu, boleh disimpulkan bagi kesalahan seksual selain merogol, adalah perlu untuk menghuraikan cara bagaimana tindakan tersebut berlaku. [5]


Suatu pertuduhan boleh diputuskan sebagai tidak berasas oleh mahkamah perbicaraan seperti yang diputuskan dalam kes Chu Chee Peng.[6] Dalam kes ini, mahkamah perbicaraan menggunapakai Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah dan memerintah pelepasan tertuduh yang tidak terjumlah kepada pembebasan pada peringkat awal kes pendakwa.


Suatu pertuduhan juga boleh dikatakan gagal memenuhi piawaian prima facie pada akhir perbicaraan kes pendakwa ataupun piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan.[7] Dalam kedua-dua keadaan ini, satu perintah pembebasan akan dikeluarkan. Satu perintah pembebasan adalah berbeza dengan satu perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan. Perintah pembebasan akan membolehkan satu belaan autrefois acquit terhadap pertuduhan kesalahan yang sama. Prinsip autrefois acquit ini adalah dijamin di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan. [8]

Sabitan juga boleh diketepikan atas rayuan dan perintah pembebasan dikeluarkan berdasarkan sebab pertuduhan yang cacat seperti yang dihuraikan dalam kes Yeap Sing Hock.[9] Mahkamah yang dirayu juga boleh memberi arahan perbicaraan semula dan kes diremit kepada mahkamah perbicaraan.

Dengan itu, pendrafan pertuduhan menjadi sesuatu yang kritikal bagi mensabit pesalah. Kecukupan butiran dalam pertuduhan merupakan satu persoalan fakta yang harus ditentukan oleh Mahkamah.

Isu kekurangan butiran dalam pertuduhan telah dibangkitkan oleh pembela dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan kesalahan seksual meliwat iaitu kes Dato Seri Anwar Ibrahim. [10] Mahkamah Persekutuan telah menyampaikan keputusan kes tersebut pada 2hb September 2004.

Lanjutan daripada itu, kekurangan butiran dalam pertuduhan turut dibangkitkan oleh pembela dalam satu kes merogol iaitu kes Azahan Mohd Aminallah. [11]Mahkamah Rayuan memberi penghakiman pada 25hb Oktober 2004.

Atas perkembangan terkini ini, makalah ini cuba mengupas isu kekurangan butiran dalam kesalahan seksual dan membuat penilaian kewajaran satu perintah pembebasan dibuat akibat kekurangan butiran tersebut.


2. Butiran masa dan belaan alibi

Dalam kes Ku Lip See (1982) [12], Mahkamah Persekutuan telah diajukan dengan soalan undang-undang iaitu dalam satu kes di mana pendakwa tidak menyatakan secara spesifik masa dan tempat kesalahan dilakukan, samada tertuduh akan dihalang daripada mengemukakan belaan alibi memandangkan kegagalannya untuk memberi notis statutori yang ditetapkan di bawah Seksyen 402A Kanun Tatacara Jenayah.

Fakta kes ini menunjukkan tertuduh telah dipertuduh di bawah kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Butiran kesalahan ialah ia dilakukan pada jam 7pm antara bulan Mei dan Jun 1978 di Kampong Ulu Pandan, Plentong, Johor Bahru. Mahkamah menyatakan butiran tersebut sudah mencukupi untuk tertuduh menjawab pertuduhan dan mengemukakan pembelaan alibi.

Mahkamah menerima pakai tafsiran seksyen 11(8) English Criminal Justice Act yang memberi tafsiran “evidence in support of an alibi” (keterangan meyokong satu alibi) bermaksud keterangan yang mempunyai kecenderungan untuk menunjukkan atas sebab kehadiran defendan di satu tempat tertentu atau masa tertentu, maka ia bukan atau besar kemungkinan bukan berada pada masa dan tempat di mana kesalahan itu dipertuduh.

Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan dengan sebulat suaranya mengesahkan keputusan kes Ku Lip See. Butiran masa dalam kes pertuduhan Dato Seri Anwar Ibrahim ialah kesalahan dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Dalam kes Azahan Mohd Aminallah pula, tertuduh dituduh di bawah 4 pertuduhan merogol anak perempuan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Fakta tarikh pertuduhan-pertuduhan tersebut ialah
· Pertuduhan 1: Pada awal Desember, 1996 lebih kurang 2.30pm
· Pertuduhan 2: Pada satu hari Ahad dalam tahun 1994
· Pertuduhan 3: Pada satu hari Jumaat pada tahun 1996 lebih kurang 1.30pm
· Pertuduhan 4: Pada tahun 1991.

Hakim Gopal Sri Ram HMR telah membuat pemerhatian berikut dalam penghakiman di Mahkamah Rayuan: “Bahawa kekurangan butiran berkenaan tarikh kesalahan telah melemahkan secara keseluruhan atau secara substantif kebarangkalian satu pembelaan alibi yang mungkin dibangkitkan oleh tertuduh.“

Walau bagaimanapun, Hakim Gopal Sri Ram telah menyatakan dengan jelas selanjutnya bahawa penghakiman tersebut tidak mengasaskan satu cadangan sesuatu pertuduhan yang tidak mengandungi tarikh yang spesifik itu cacat dan pesalah wajar dibebaskan. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tertuduh, sabitannya dibatalkan dan hukuman diketepikan dan tertuduh dibebaskan. Asas penghakiman ini ialah terdapat kesilahan-kesilapan kritikal lain dalam perbicaraan yang telah menyebabkan kegagalan atau salah terlaksana keadilan. Memandangkan tertuduh telah pun dipenjara selama tujuh tahun dan pertuduhan asal telah dilakukan lapan tahun dahulu, maka perbicaraan semula tidak diperintahkan.

Dengan ini, melalui rentetan kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan jelas menunjukkan walaupun butiran masa adalah berbentuk satu tempoh masa dan bukan masa spesifik, pertuduhan tersebut tidak cacat walaupun tertuduh mempunyai peluang tipis untuk berjaya dalam belaan alibi. Saya berhujah pertuduhan yang berbentuk tempoh masa juga mempunyai kesan sampingan yang memihak kepada tertuduh memandangkan sekiranya perintah pembebasan diberikan, maka belaan autrefois acquit akan diberikan kepada tertuduh untuk tempoh masa dalam pertuduhan tersebut.



3. Lembaran baru dalam Kes Dato Seri Anwar Ibrahim
Keputusan ketiga-tiga hakim dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim walaupun bersetuju dalam mengesahkan ratio decidendi bagi kes Ku Lip See, tetapi telah berbeza pendapat berkenaan keperluan pembuktian masa sebagai intipati pertuduhan.

Dalam kes ini, dua orang tertuduh dewasa telah dipertuduh atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan. Butiran pertuduhan yang dipinda menyatakan kesalahan tersebut dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Keputusan majoriti yang disampaikan oleh Abdul Hamid Mohamad HMP dan Tengku Baharudin HMR ini menyatakan pertuduhan mengandungi butiran yang mencukupi seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah. Tetapi, keputusan majoriti ini telah melangkau satu langkah lebih jauh dan menyatakan butiran pertuduhan berkenaan masa wajib dibuktikan. Perkataan “The charge shall contain such particulars as to the time…” (Pertuduhan hendaklah mengandungi buitran berkenaan masa…) dalam seksyen 153(1) diputuskan sebagai kewujudan maksud imperatif dan kewajipan, maka dengan itu “time” (masa) dalam seksyen 153(1) ditafsirkan sebagai “date or period” (tarikh atau tempoh) dan ia mesti dibuktikan.

Dalam menyampaikan keputusan menentang pula, Rahmah Hussan HMR pula berbeza pendapat dan menyatakan intipati utama ialah tindakan seksual dan identiti pesalah. Menurutnya, adalah silap untuk menyatakan bahawa tarikh merupakan satu intipati pertuduhan.

Mengikut fakta kes ini, saksi yang juga merupakan rakan sejenayah telah memberikan keterangan bercanggahan berkenaan masa sebanyak tiga kali iaitu bulan Mei 1994 , Mei 1992 dan Januari hingga Mac 1993. Terdapat juga isu pengakuan tertuduh kedua yang dibuat secara bukan sukarela. Oleh itu, dalam ketiadaan keterangan sokongan lain, keputusan majoriti menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh-tertuduh atas keterangan seorang rakan sejenayah. Rayuan tertuduh-tertuduh dibenarkan dan dan mereka dibebaskan.
Saya berhujah kes Dato Seri Anwar Ibrahim ini diputuskan mengikut faktanya sendiri dan tidak mengikat untuk semua kes kesalahan seksual. Sekiranya pembuktian tarikh diperlukan, maka adalah amat mencabar untuk mensabitkan pesalah seksual yang mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang barangkali hanya melaporkan kesalahan kepada orang terdekat beberapa tahun selepas kejadian.

Dalam aspek ini, apa yang dikatakan oleh Hakim Rougier dalam kes English R v Evans [13] harus direnungi. Menurutnya, bagi kes penganiayaan atau kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku pada satu tempoh yang panjang dan berulang-kali, adalah tidak realistik untuk mengharapkan kanak-kanak tersebut untuk mengingati tarikh sebenar. Ini disebabkan oleh peredaran masa dan juga kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk melupai peristiwa yang tidak disenangi. Sekiranya, tarikh sebenar tersebut wajib dibuktikan, ini seolah-olah memberi satu perisai selaku pelindung kepada pesalah daripada hukuman undang-undang.

4. Ujian 2 Peringkat yang dipelopori di Kanada
Saya berhujah kes Mahkamah Agong Kanada, R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) [14] harus dirujuk. Dalam kes kesalahan seksual ini, isu pokoknya ialah samada masa ialah satu elemen asas yang harus dibuktikan secara melampaui keraguan yang munasabah. Ujian yang dipelopori oleh Mahkamah Agong Kanada ini ialah ujian 2 peringkat.

Ujian Pertama: Apabila masa kesalahan tidak dapat ditentukan dengan tepatnya ataupun berkonflik dengan keterangan, maka soalan yang harus ditanya ialah sama ada masa ialah satu elemen asas kepada kesalahan ataupun ia sangat penting bagi kes pembela.

Hanya jika ujian pertama dijawab secara positif, barulah perbincangan diteruskan ke peringkat kedua iaitu samada masa telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Dengan hormatnya, saya berhujah ujian 2 peringkat ini menarik dari segi konsepnya dan memberikan satu huraian yang lebih konkrit berbanding keputusan majoriti kes Dato Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai misalannya, butiran masa kesalahan adalah penting bagi kesalahan rogol secara statutori di bawah Seksyen 375(6) Kanun Keseksaan. Butiran masa kesalahan penting untuk menentukan samada persetubuhan tersebut berlaku sebelum atau selepas umur 16 tahun mangsa. [15]

Satu contoh lain tentang butiran masa sebagai elemen penting dalam kesalahan seksual ialah anggapan undang-undang di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 bahawa seorang budak lelaki di bawah umur 13 tahun tidak berupaya melakukan rogol.

Tambahan pula, butiran masa kesalahan penting bagi penentuan bidang kuasa dan prosedur perbicaraan bagi kes pesalah muda yang berumur kurang daripada 18 tahun. [16] Bagi pesalah muda kategori ini, mereka akan dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Pesalah yang melakukan kesalahan seksual selepas umur 18 tahun pula akan dibicarakan di Mahkamah biasa. Tarikh penentuan ialah tarikh kesalahan dilakukan dan bukan tarikh pertuduhan. [17]

Dalam ketiga-tiga contoh yang saya huraikan tadi, adalah jelas masa adalah elemen penting dalam pertuduhan, maka masa harus dibuktikan secara melampaui keraguan munasabah. Bagi kes-kes di mana masa bukan elemen penting, maka tiada kewajipan untuk membuktikan secara melampaui keraguan munabah. Ia tetap satu jenayah tidak kira bila ia dilakukan.

Di sini, saya ingin mengulangi apa yang diutarakan oleh Hakim Atkin dalam satu kes English berkenaan kesalahan seksual iaitu kes Severo Dossi (1908) [18] iaitu “Sejak dahulu lagi, satu masa yang dinyatakan dalam satu pertuduhan tidak akan akan mejadi satu perkara teras kecuali ia sebenarnya adalah bahagian penting dalam kesalahan yang dipertuduh tersebut”.


5. Kesimpulan
Berbeza dengan England, sistem keadilan jenayah di Malaysia tidak mengamalkan pendekatan penzahiran sebelum perbicaraan Dalam kes-kes kehakiman yang telah diputuskan [19], tertuduh hanya berhak untuk mendapat dokumen-dokumen tertentu sahaja sebelum perbicaraan. Dokumen-dokumen tersebut ialah salinan kertas pertuduhan, laporan maklumat pertama, laporan beramaran tertuduh sendiri dan dokumen-dokumen lain yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Oleh itu, tertuduh bergantung kepada maklumat dalam kertas pertuduhan dan dokumen-dokumen lain untuk menyediakan pembelaannya.

Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah [20] menyatakan kesan kesilapan atau ketinggalan memperihalkan kesalahan butiran tidak boleh dianggap sebagai material, kecuali tertuduh itu sebenarnya telah terkeliru oleh sebab kesilapan atau ketinggalan itu.

Seksyen 153(1), Seksyen 154 dan dibaca bersama-sama Seksyen 156 sebenarnya mengenakan kewajipan ke atas pihak pendakwa untuk menyatakan butiran pertuduhan demi melindungi hak tertuduh supaya tertuduh dapat menjawab pembelaannya secara mencukupi. Dengan hormatnya, saya berhujah keputusan majoriti Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengenakan kewajipan pembuktian tarikh adalah terhad kepada fakta dalam kes tersebut sahaja.

Adalah menjadi amalan mantap seperti dinyatakan dalam kes R v Saunders [21] bahawa mahkamah rayuan tidak memerintah satu perbicaraan semula dan membebaskan tertuduh sekiranya kes itu telah menunggu selama lebih kurang 4 tahun. Dalam kes Azahan, tertuduh dibebaskan dan tiada perbicaraan semula diperintah berdasarkan pertimbangan bahawa tertuduh telah menjalani pemenjaraan selama 7 tahun.

Sebagai kesimpulan, kekurangan butiran masa per se dalam pertuduhan kesalahan seksual ini sebenarnya tidak mewajarkan pembebasan tertuduh. Perintah pembebasan hanya wajar sekiranya pendakwa gagal mencapai piawaian prima facie pada akhir kes pendakwa atau piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan di mana terdapat kecacatan dari segi intipati pertuduhan seperti membuktikan kemasukkan zakar, pembuktian umur mangsa dalam kes rogol statutori atau identiti pesalah.




Bibliografi

[1] Lim Beh & Ors. v. Opium Farmer[1842] 3 KY 10 c.t 12 per Nowis RJ.

[2] Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah: Particulars as to time, place and person
“(1) The charge shall contain such particulars as to the time and place of the alleged offence and the person, if any, against whom or the thing, if any, in respect of which it was committed as are reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged”

[3] Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah: When manner of committing offence must be stated:
“When the nature of the case is such that the particulars mentioned in section 153 and 154 do not give the accused sufficient notice of the matter with which he is charged, the charge shall also contain such particulars of the manner in which the alleged offence was committed as will be sufficient for that purpose”

[4] AB Malek Atan lwn Pendakwa Raya [2002] 6 CLJ 405

[5] Contoh pertuduhan Seksyen 377B Kanun Keseksaan – persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii – memasukkan zakar ke dalam mulut atau dubur

Contoh pertuduhan Seksyen 377D – melakukan perbuatan kelucahan melampau -- dengan mnghisap kemaluannya.

[6] Chu Chee Peng lwn Pendakwa Raya [1973] 1 LNS 18

[7] Looi Kaw Chai lwn Pendakwa Raya [2003] 1 CLJ 734 dan Balachandran lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 85

[8] Artikel 7(2) Perlembagan Persekutuan:
“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan…. tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga kecuali jika…. pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintah oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebas”

[9] Yap Sing Hock lwn Pendakwa Raya [1993] 1 BLJ 35

[10] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2004] 3 CLJ 737

[11] Azahan Mohd Aminallah lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 374

[12] Ku Lip See lwn Pendakwa Raya [1982] 1 MLJ 194

[13] R v Evans [1995] Crim LR 245

[14] R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) 2 S.C.R

[15] Jamaluddin Hashim lwn Pendakwa Raya [1999] 3 CLJ 640 dan Mohd Salleh Mk Mohd Yusof lwn Pendakwa Raya [2005] 2 CLJ 655

[16] Seksyen 2(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan seorang kanak-kanak ialah
(a)Seorang yang di bawah umur 18 tahun dan
(b) Dalam perkara berkenaan prosiding jenayah, seorang yang telah mencapai umur tanggungjawab jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 82 Kanun Keseksaan.

[17] Baljit Singh Sidhu, An Overview of the Child Act 2001 and the Criminal Procedure Aspects, [2003]2 MLJ xlix.

[18] Hakim Atkin dalam kes Severo Dossi 13 Cr. App. R158
“From time immemorial a date specified in an indictment has never been a material matter unless it is actually an essential part of the alleged offence”

[19] Laporan Forum Hak Untuk Satu Perbicaraan Yang Cepat dan Adil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada 7-8 April 2005.

[20] Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah: Effect of errors
“No error in stating either the offece or the particulars required to be stated in the charge, and no omission to state the offence or those particulars, shall be regarded, at any stage of the case, as material unless the accused was in fact misled by that error or omission.”

[21] R v Saunders – [1974] 58 Cr App R 248