Sunday, March 12, 2006

Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung bagi pemberi dan penerima

** Esei ini Memenangi Hadiah Tempat Kedua Pertandingan Menulis Makalah Undang-undang dalam Bahasa Malaysia anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara Tahun 2004 **

Tajuk:

Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung
bagi pemberi dan penerima?

Oleh: Wong Hon Wai
29 Julai 2004



Rasuah dapat dibendung melalui hukuman gantung
bagi pemberi dan penerima?
1: Pengenalan
Gejala rasuah bukan suatu fenomena yang baru. Sejarah rasuah boleh disusuri ke masa manusia mulai membentuk masyarakat bersosial sejak beribu-ribu tahun lalu. Dr Syed Hussein Alatas dalam kajiannya telah mengupas kejadian rasuah di peradaban lama seperti Roman, Greek dan Cina.[1]

Amalan rasuah ditegah oleh agama Islam. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)“ [2]

Secara ringkasnya, gejala rasuah yang menular bukan sahaja menghakis kemoralan sesuatu masyarakat, mencabuli hak sosial dan ekonomi golongan miskin dan terpinggir, mencabar keluhuran undang-undang dan kesannya ialah pembangunan masyarakat yang terbantut. [3]
Esei ini akan mengkaji perundangan semasa Malaysia dalam menangani gejala rasuah serta membincangkan samada hukuman gantung adalah sesuai dan efektif dalam membendung gejala rasuah.

2: Kawalan Undang-undang terhadap Rasuah

Kawalan undang-undang terhadap rasuah adalah melalui penguatkuasaan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat No 22, 1970, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967. [4]

2.1 : Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575)
Akta 575 merupakan Akta yang paling utama dalam menangani rasuah. Akta 575 ini adalah bertujuan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Banda Pencegah Rasuah 1982 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22 tahun 1970 (Ordinan 22). [5]

Kesalahan utama adalah dikanunkan di bawah Bahagian III Akta 575. Seksyen 10 Akta 575 memperuntukkan kesalahan menyetuju terima suapan. Seksyen 11 pula berkenaan kesalahan memberikan atau menyetuju-terima suapan oleh ejen. Seksyen 12 memperuntukkan bahawa penerima atau pemberi suapan adalah bersalah walaupun maksud tidak terlaksana atau perkara tidak ada hubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipal. Seksyen 13 pula berkenaan kesalahan mendapatkan penarikan balik tender secara rasuah. Penyogokan pegawai badan awam diperuntukkan oleh Seksyen 14. Seksyen 15 pula berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan.

Suapan pula diberi definisi yang luas di bawah seksyen 2 dengan merangkumi bentuk kewangan atau bukan kewangan. Antara kategori suapan bukan kewangan ialah jawatan dan kebesaran.

Seksyen 14 memperuntukkan secara spesifik kesalahan berkenaan penyogokan pegawai badan awam. Seksyen-seksyen lain tidak terhad kepada pengawai badan awam tetapi termasuk juga sektor swasta.

Dari segi ini, dalam kes William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [6], mahkamah memberikan tafsiran terhadap “pegawai badan awam“ di bawah seksyen 2 iaitu “mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai,pekerja atau pengkhidmat sesuat badan awam dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam “. Mahkamah memutuskan “dan“ hendaklah ditafsirkan sebagai disjunktif. Pembuktian salah satu elemen cukup untuk memenuhi intipati pegawai badan awam. Mahkamah memutuskan pegawai polis bantuan ialah pegawai badan awam memandangkan ia memenuhi elemen “menerima saraan dari wang awam“. Tafsiran ini telah memperluaskan ruang lingkup pemakaian seksyen 14.
2.2 : Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22, 1970 (Ordinan 22)

Ordinan 22 ini merupakan satu lagi undang-undang yang penting dalam menangani rasuah. Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [7], Mahkamah Persekutuan menyatakan Ordinan 22 masih lagi berkuatkuasa memandangkan Dewan Negara belum lagi meluluskan resolusi untuk membatalkannya walaupun Dewan Rakyat telah berbuat demikian. Mahkamah juga menerangkan bahawa matlamat Ordinan tersebut adalah luas sehinggakan boleh mendakwa ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai awam yang telah menyalahgunakan kedudukan atau jawatan awam mereka untuk manfaat kewangan atau manfaat lain bagi diri mereka sendiri.

2.3 : Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5)
Seksyen 10 dan Seksyen 11(b) Akta 5 menerangkan intipati kesalahan penyogokan sebagai satu perbuatan rasuah.
2.4 : Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967

Terdapat beberapa seksyen di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tentang kesalahan rasuah iaitu seksyen 161 hingga 165, 213 dan 215. Begitu juga dengan seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan tentang kesalahan menerima rasuah.

Saya berhujah Akta 575 telah merangkumi kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kastam. Saya mencadangkan seksyen-seksyen tersebut harus dimansuhkan dengan peruntukan peralihan.


3. Pihak yang terlibat dalam rasuah
Dr Syed Hussein Alatas telah mengambil pendekatan sosiologi dalam mengkaji gejala rasuah. Beliau telah membuat klasifikasi berkenaan 7 jenis rasuah iaitu berbentuk transaktif, pemerasan, defensif, pelaburan, nepotisme, autogenik dan sokongan. [8]

Definisi rasuah dalam Akta 575 adalah kombinasi model-model yang dicadangkan oleh Dr Syed Hussein Alatas. Dalam model transaksi, kedua-dua pihak saling bersetuju untuk melakukan tindakan rasuah untuk kepentingan kedua-dua pihak. Dalam model pemerasan pula, pemberi rasuah bertindak memberi rasuah untuk mengelakkan bencana ke atas dirinya. Model autogenik merujuk kepada keadaan di mana hanya seorang sahaja yang terlibat dalam rasuah iaitu menyalahguna kedudukannya untuk mengaut keuntungan.

Di samping itu, seksyen 20 Akta 575 memperuntukkan orang-orang yang terlibat dalam percubaan, persediaan, persubahatan dan komplot rasuah akan dikenakan hukuman yang sama.

Sementara itu, pihak ketiga yang terlibat dalam pengubahan wang haram di mana harta itu adalah akibat perbuatan rasuah juga boleh dihukum di bawah seksyen 4 dibaca bersama seksyen 3 dan Jadual 2, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).

Secara ringkasnya, sabitan terhadap jenayah rasuah tidak dihadkan kepada pemberi atau penerima sahaja tetapi memrangkumi pihak ketiga seperti yang diterangkan di atas.

Oleh kerana perbuatan rasuah dilakukan dalam keadaan sulit, maka adalah sukar untuk menyabitkan kedua-dua pemberi dan penerima secara serentak apatah lagi menyabitkan pihak ketiga. Dalam kebanyakan kes, lazimnya satu pihak sahaja yang dikenakan pertuduhan. Keadaan ini terjadi disebabkan tidak ada saksi yang tampil memberikan bukti atau keterangan di atas perlakuan kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak akan cuba menyembunyikan keterangan berdasarkan kepentingan masing-masing. Pertimbangan biasa dibuat untuk menentukan pihak mana yang dimangsai antara si pemberi dan si penerima itu. Pilihan mempertuduh satu pihak, pada lazimnya, berdasarkan pihak mana yang melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai bukti yang ia tidak bersetuju dan juga ia bukan rakan sejenayah dalam transaksi itu. Di sini, Seksyen 44 Akta 575 memberi perlindungan kepada pemberi rasuah yang menjadi mangsa. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa keterangan ejen provokasi diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding atas sesuatu kesalahan. Tiada saksi boleh dianggap sebagai rakan sejenayah hanya semata-mata kerana saksi itu telah memberikan apa-apa suapan.

Kesulitan yang dialami oleh Pendakwa Raya untuk membuktikan intipati rasuah boleh diilustrasikan dalam kes Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat[9]. Dalam kes tersebut, pihak Pendakwa Raya gagal dalam pembuktian pertuduhan meminta rasuah di bawah Seksyen 10(a)(bb) tetapi berjaya dalam pembuktian menerima rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta 575. Dalam kes tersebut, mangsa telah membuat laporan kepada BPR dan wang perangkap telah digunakan. Mahkamah memutuskan bahawa tuduhan pertama gagal kerana tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa mengenai perbualan telefon yang menjadi intipati permintaan. Anggapan kesalahan di bawah Sekseyn 42(1) terbit apabila tertuduh meminta atau menerima suapan tetapi anggapan tersebut boleh dipatahkan sekiranya terdapat keraguan munasabah.

Dalam kes Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya[10], Mahkamah menyatakan walaupun undang-undang melayan seorang pemberi sama dengan penerima rasuah, tetapi mahkamah mengambil kira fakta kes dalam penghukuman. Dalam kes tersebut, penerima rasuah adalah seorang yang tamak dan telah membelakangi tugas dan kepercayaan awam terhadapnya. Tetapi, pemberi hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu, keberatan hukuman ke atas pemberi adalah kurang berbanding penerima.

Dalam kes New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[11] pula, mahkamah menyatakan takat penghukuman harus berdasarkan perkadaran niat jahat dalam pemikiran pesalah. Mahkamah membezakan si pemberi yang hanya bertindak atas ketakutan untuk dikenakan undang-undang kepada si pemberi yang secara aktif memberi rasuah kepada pegawai badan awam tanpa diminta. Menurut mahkamah, kategori kedua ini adalah lebih merbahaya daripada kategori pemberi pertama mahupun penerima rasuah dan harus dikenakan hukuman lebih berat kerana tindakan tersebut menghakis urusan pentadbiran awam.

4. Hukuman terhadap rasuah

Bahagaian III Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) secara intipati adalah sama dengan kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Bahagian II Akta Pencegah Rasuah 1961 (Akta 57). Seksyen 10,11,12,13 dan 14 Akta 575 adalah in pari materia dengan Seksyen 3,4,6,7 dan 9 Akta 57. Seksyen 15 Akta 575 pula mengandungi kesalahan yang sama dengan seksyen 2 Ordinan 22. [12] Satu perbezaan ketara antara Akta 575 berbanding Akta 57 dan Ordinan 22 ialah penalti hukuman pemenjaraan dan denda telah ditingkatkan.

Untuk kesalahan rasuah di bawah Ordinan 22, tiada had pemenjaraan minimum. Dalam kes Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [13], tertuduh disabitkan atas kesalahan Seksyen 2(1) Ordinan 22 iaitu menggunakan kedudukan sebagai pegawai awam untuk keuntungan kewangan, Mahkamah Persekutuan hanya mengenakan hukuman denda RM2000 sahaja.

Di bawah Akta 57 (yang sudah dimansuh), tempoh maksimum pemenjaraan ialah 7 tahun atau denda 10 ribu ringgit atau kedua-duanya. Tiada had pemenjaraan minimum di bawah Akta 57.
Bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucuthakan harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi. Seksyen 36 dan 37 berkenaan dengan pelucuthakan harta yang dibuktikan menjadi hal perkara rasuah.

Penalti pemenjaraan minimum yang dicadangkan semasa Bacaan Kali Pertama dan Kedua Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 di Dewan Rakyat adalah 6 bulan. Tetapi, melalui Kertas Pemberitahuan semasa Bacaan Ketiga Rang Undang-undang tersebut, penalti pemenjaraan minimum dikurangkan menjadi 14 hari. [14] Dengan ini, adalah disimpulkan niat Parlimen ialah mengenakan pemenjaraan minimum yang pendek dan mahkamah diberi budi bicara untuk menentukan tempoh pemenjaraan berdasarkan fakta kes.

Tafsiran terhadap penghukuman di bawah Seksyen 16 Akta 575 dibincangkan dalam kes Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman. [15] Mahkamah Tinggi menafsirkan Seksyen 16 sebagai “mana-mana orang yang didapati bersalah … boleh apabila disabitkan … dipenjarakan dan didenda“. Mahkamah menyatakan pemenjaraan dan denda diharus dibaca secara bersama iaitu tafsiran secara konjuktif. Mahkamah juga turut menambah tafsiran konjuktif sedemikian tidak bermakna bahawa perkataan “boleh apabila disabitkan“ adalah mandatori. Apa yang dimaksudkan ialah Mahkamah masih boleh guna budibicaranya dalam menggunakan kuasa di bawah seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah iaitu pelepasan ikat jamin dengan syarat supaya berkelakuan baik. Tetapi, sekiranya seksyen 16 hendak digunakan, maka kedua-dua denda dan pemenjaraan harus dikenakan bersama. Intepretasi tersebut berdasarkan rujukan terhadap Rang Undang-Undang.

Seperkara yang menarik ialah tiada hukuman sebatan ke atas kesalahan rasuah. Secara umumnya, sebatan hanya dikenakan ke atas pesalah yang menggunakan kekerasan. Di sini timbulnya pengecualiaan apabila Parlimen meluluskan Kanun Keseksaan (Pindaan) 1993 dengan mengenakan sebatan ke atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang (seksyen 403 dan 404), pecah amanah jenayah (seksyen 406-409) dan menipu (seksyen 420). [16] Tiada elemen kekerasan digunakan dalam seksyen-seksyen tersebut. Di bawah Seksyen 288(4) Kanun Prosedur Jenayah, rotan yang digunakan ke atas kesalahan seksyen tersebut ialah rotan halus.


5. Samada Hukuman Gantung ke atas pemberi dan penerima boleh membendung gejala rasuah?

Ahli Juris zaman dulu telah mencuba pelbagai pendekatan untuk membendung gejala rasuah. Undang-undang Hammrabi misalnya telah menetapkan hukuman mati bagi pegawai awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah tertentu. [17] Hukuman mati juga dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah di Cina purba. [18] Walaupun hukuman mati dikenakan, gejala rasuah masih menular.

Saya berhujah berdasarkan pengalaman sejarah, hukuman mati bukanlah satu hukuman yang berkesan untuk membendung rasuah.

Oleh kerana rasuah adalah satu jenayah yang dilakukan secara sulit, maka adalah mustahil untuk mendapatkan perangkaan tentang kes rasuah yang sebenarnya berlaku. Sebagai alternatif, persepsi terhadap kejadian rasuah seringkali digunakan sebagai kayu ukur. Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency International merupakan sumber berwibawa. Indeks tersebut diperolehi dengan soal-selidik untuk mendapatkan perspektif ahli perniagaan asing terhadap rasuah dalam sektor awam.

Kedudukan Malaysia ialah dalam lingkungan 4.8 hingga 5.32 daripada skala 10 bagi tempoh 1996-2003. Kedudukan Malaysia adalah jauh di belakang dengan negara jiran kita, Singapura yang mencapai markah melebihi 9 dan berkedudukan dalam senarai 10 negara yang paling kurang rasuah. [19]

Seksyen 5 Akta Pencegahan Rasuah Singapura [20] memperuntukkan bahawa hukuman am bagi rasuah ialah denda tidak melebihi S$100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Untuk kesalahan spesifik yang dinyatakan dalam Akta tersebut, hukuman pemenjaraan ditingkatkan kepada maksimum 7 tahun.

Tempoh pemenjaraan maksimum kesalahan rasuah di Singapura adalah jauh lebih pendek daripada tempoh maksimum 20 tahun Akta 575 Malaysia. Pengalaman Singapura membuktikan pengurangan gejala rasuah bukan disebabkan oleh hukuman berat sahaja.

Di Malaysia, hukuman mati dikenakan ke atas 4 jenis kesalahan sahaja iaitu kesalahan membunuh (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), mencolek (Seksyen 364 Kanun Keseksaaan atau Seksyen 3(1) Akta Mencolek 1961), memiliki senjata api (Seksyen 57, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) dan pengedaran dadah merbahaya (seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952). [21] Elemen keganasan melampau wujud dalam 3 kesalahan pertama tersebut. Bagi kesalahan mengedar dadah pula, justifikasinya ialah untuk membendung aktiviti sindiket pengedaran dadah supaya bekalan dadah tidak berleluasa sehingga melumpuhkan masyarakat.

Secara umumnya, salah satu objektif hukuman mati adalah berdasarkan konsep balasan iaitu “hutang darah dibayar darah”. Objektifnya ialah membalas balik secara fizikal perbuatan si penjenayah. Saya berhujah kesalahan rasuah tidak boleh digolongkan dalam kategori ini.

Objektif hukuman mati yang lain ialah bertujuan pencegahan secara am iaitu untuk menakutkan mereka yang ada kecenderungan melakukan jenayah dan masyarat secara amnya. Kelaziman hukuman dijatuhkan akan menjadi amaran berterusan kepada masyarakat.
Hukuman mati juga akan mematahkan keupayaan secara kekal. Mereka yang dianggap merbaya kepada masyarakat akan diasingkan secara kekal dengan masyarakat.

Saya berhujah konsep hukuman secara moden adalah berdasarkan pemulihan. Pesalah harus diberi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Hukuman mati tidak memberi peluang kepada pesalah untuk menjadi seorang warga yang baik semula.

Saya juga menyokong hujah bahawa keberkesanan tindakan polis dan pendakwaan untuk memastikan pesalah disabitkan mempunyai impak yang lebih besar berbanding hukuman berat. Dengan perkataan lain, formula pencegahan terhadap berlakunya jenayah ialah kepastian terhadap tangkapan dan hukuman dan bukan keberatan hukuman per se. [22]

Saya turut menyokong hujah bahawa hukuman harus berkadaran dengan kesalahan. Ini kerana tujuan hukuman ialah untuk mengambil kira keuntungan tidak adil yang diambil oleh pesalah. Hukuman setimpal harus dikenakan untuk memusnahkan keuntungan tidak adil yang dinikmati oleh pesalah. Hukuman terlampau berat adalah tidak adil kepada pesalah. [23] Saya berhujah hukuman mati adalah terlampau berat dan tidak adil bagi pesalah rasuah.

6. Kesimpulan

Roscoe Pound menyatakan dalam dunia moden ini, undang-undang telah menjadi alat kawalan sosial yang paling utama menggantikan kemoralan dan agama. [24] Saya berhujah demi untuk membendung rasuah, kawalan bukan undang-undang harus diberi penekanan yang secukupnya.

Kita harus merenungi apa yang dikatakan oleh ahli falsafah Cina, Confucius: “Sekiranya rakyat jelata dikawal dengan undang-undang, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak diheret ke penjara dan mereka tidak akan berasa malu untuk melakukan kesalahan. Jika mereka dididik dengan moral dan etika, maka mereka akan berasa malu untuk melakukan kesalahan dan akan menjadi orang yang baik.” [25]

Di samping penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada, rancangan meningkatkan ketelusan dari segi sistem kewangan, sistem pembekalan dan seumpamanya harus dititikberatkan.

Dalam aspek ini, Kerajaan Malaysia telah menggariskan Pelan Integriti Nasional [26] yang bertujuan untuk menggubal strategi bagi semua sektor masyarakat demi memantapkan nilai etika dan integriti. Pelan ini mempunyai sasaran lima tahun (2004-2008) yang konkrit iaitu untuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dari 5.2 (tahun 2003) ke 6.5 (tahun 2008). [27]

Sebagai kesimpulan, hukuman gantung terhadap pemberi dan penerima rasuah bukanlah formula untuk membendung rasuah. Kita harus menerimapakai nasihat Confucius dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi pendekatan undang-undang dan bukan undang-undang. Dengan ini, barulah kita dapat memupuk nilai integriti sebagai budaya nasional untuk menentang gejala rasuah.


Bibliografi
[1] Syed Hussein Alatas, Corruption: Its Nature, Causes and Functions, S. Abdul Majeed & Co, 1991.

[2] Surah al-Baqarah, ayat 188. http://www.pmo.gov.my/

[3] Lima Declaration Against corruption, 8th International Anti-Corruption 1997 http://www.transparency.org/iacc/lima/e-limadecl.html

[4] Laman Web Badan Pencegah Rasuah, http://www2.jaring.my/bpr

[5] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997, http://www.parlimen.gov.my/

[6] William Minggu Nyegang lwn Pendakwa Raya [2002] 8 CLJ 1008

[7] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2002] 3 CLJ 457

[8] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms2

[9] Pendakwa Raya lwn Rosli bin Mahat [2002] 1 LNS 116

[10] Ng Kok Jooi lwn Pendakwa Raya [1974] 1 LNS 105

[11] New Tuck Shen lwn Pendakwa Raya[1982] CLJ 606
[12] DR 30/97: Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah 1997, http://www.parlimen.gov.my/

[13] Pendakwa Raya lwn Datuk Tan Cheng Swee [1980] 1 LNS 58

[14] Kertas Pemberitahuan Notis tentang Pindaan kepada Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 (Pindaan yang dicadangkan kepada jawatankuasa oleh YAB Timbalan Perdana Menteri), http://www.parlimen.gov.my/

[15] Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman [1998] 4 CLJ 199

[16] Roziah Omar & John Doling (Eds), Issues and Challenges of Social Policy: East and West, University of Malaya Press, 2000.

[17] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms13

[18] Syed Hussein Alatas, op.cit., ms54

[19] Indeks Persepsi Rasuah , Transparency International, http://www.transparency.org/pressreleases_archive/2003/2003.10.07.cpi.en.html

[20] Prevention of Corruption Act (Singapore) (Chapter 241) http://agcvldb4.agc.gov.sg


[21] Mimi Kamariah, Criminal Procedure in Malaysia, Third Edition, University of Malaya Press, 1999, ms494.

[22] Stanley Yeo Meng Heong, “Mandatory Minimum Sentences: A tying of Judicial Hands” [1985] 2 MLJ clxxxvi.

[23] CMV Clarkson, Criminal Law in Singapore and Malaysia, Malayan Law Journal Ptd Ltd, 1989, ms19.

[24] Roscoe Pound, Social Control Through Law, Transaction Publisher.

[25] Syed Hussein Alatas, op. cit., ms55.

[26] Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional, 23 April 2004, http://www.pmo.gov.my/

[27] New Straits Times, 27 Julai 2004 ,ms8.

Hak Asasi Manusia: Imbangan Antara Hak Ramai dan Hak Individu

** Esei ini Memenangi Hadiah Tempat Kedua Pertandingan Menulis Makalah Undang-undang dalam Bahasa Malaysia anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara Tahun 2001 **

Tajuk:

“Hak Asasi Manusia: Imbangan Antara Hak Ramai dan Hak Individu”
Oleh: Wong Hon Wai
27 Julai 2001

Mukadimah

Kamus Dewan menakrifkan hak asasi sebagai hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. [i][1] Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih luas.

Di arena antarabangsa, terdapat 3 dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966.

Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia merangkumi tetapi tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

(1) Hak sivil dan politik: Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang.
(2) Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi: Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat.

Ahli falsafah Barat, Rousseau, telah mengemukakan konsep “Kontrak Sosial” pada tahun 1762.[ii][2] Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai.

Benih yang ditaburkan oleh Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam nas-nas perundangan moden. Sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.


Perbezaan Paradigma dalam Konsep Hak Asasi Manusia
Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.
Kumpulan lain juga menerima pakai piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah memaktubkan Konvensyen Europah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia[iii][3] yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa knosep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu[iv][4]. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah. [v][5]

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu ke peringkat kampung dan negara.[vi][6]. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.

Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.

Tinjauan terhadap Perundangan yang melindungi Hak Asasi Manusia di Malaysia

Di bawah Bahagian 2, Perlembagaan Malaysia termaktubnya sembilan kebebasan asasi. Secara umumnya, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan hak individu tetapi tertakhluk kepada syarat-syarat tertentu umpamanya ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.

Kita akan mendapat perspektif yang lebih jelas dengan merujuk secara mikroskopik terhadap salah satu kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Perkara 10 antaranya memberi hak bebas bercakap, mengeluarkan fikiran, berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata serta menubuhkan persatuan kepada semua warganegara Malaysia.

Menurut pandangan seorang ahli akademik, Harding, Perkara 10 sebenarnya bukan memberi hak tersebut tetapi mengambil balik hak tersebut. [vii][7]

Hak-hak yang tersebut di atas sebenarnya tertakluk kepada Perkara 10(2) di mana Parlimen diberi kuasa untuk mengawal hak tersebut dan ia boleh dikurangkan melalui Akta-akta Parlimen berasaskan lapan alasan. Alasan-alasan tersebut ialah kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negeri lain, ketenteraman awam, keistimewaan Parlimen dan Dewan Negeri, penghinaan terhadap mahkamah, akhlak, fitnah atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan suatu kesalahan serta mempersoalkan kedudukan yang dilindungi di bawah Bahagian 3, Perkara 152,153 dan 181.

Kelapan-lapan alasan tersebut boleh dikategorikan secara umumnya di bawah hak ramai. Dengan itu, Perkara 10 walaupun memberikan hak kepada individu tetapi tertakhluk kepada lapan hak ramai.

Jika dibandingkan dengan Konvensyen Eropah mengenai Has Asasi Manusia dan Kebebasan Asasi 1950 yang menggariskan bahawa kebebasan bercakap hanya dibataskan di mana diperlukan di bawah satu masyarakat demokratik, kebebasan bercakap yang diberi di bawah Perlembagaan Malaysia adalah terbatas secara relatifnya.

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, penghayatan hak asasi manusia ialah satu perjalanan dan bukan satu destinasi memandangkan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang statik. [viii][8] Ancaman yang baru akan menimbulkan keperluan yang baru. Dengan peredaran masa, maka satu satu penghayatan semula tentang teori hak asasi manusia diperlukan. Malaysia juga tidak terkecuali daripada perubahan paradigma sejagat.

Di bawah Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), pengertian hak asasi manusia merujuk kepada kebebasan asasi yang termaktub dalam Bahagian II, Perlembagaan Malaysia.

Seksyen 4(4) Akta 597 juga memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna hak asasi manusia yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi dimaktubkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 harus dirujuk setakat tidak berlawan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Secara adatnya, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dianggap sebagai undang-undang antarabangsa yang mengikat. Dengan terteranya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, konsep hak asasi manusia di Malaysia telah diperluaskan sejajar dengan perkembangan sejagat.

Walaupun terdapat 28 perkara di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang menjamin hak asasi individu, terdapat satu klausa khas iaitu Perkara 29 yang menyebut bahawa setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik. [ix][9]

Di bawah Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik, idealisme manusia bebas untuk menikmati kebebasan sivil dan politik hanya dapat dicapai sekiranya memenuhi syarat-syarat asas yang membolehkan seorang menikmati hak sivil, politik, ekomomi, social dan kebudayaan.

Di bawah perkara 4 Kovenan tersebut telah dinyatakan bahawa di bawah keadaan darurat yang mengancam keselamatan negara dan telah diisytiharkan secara rasmi, negara yang menandatangani Kovenan tersebut boleh mengambil langkah mengurangkan obligasinya dalam Kovenan itu tertakluk kepada keperluan semasa dengan syarat langkah-langkah itu bukan tidak konsisten dengan obligasi-obligasi lain di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan diskriminasi atas alasan bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama serta asal-usul seseorang. Dinyatakan juga terdapat hak-hak individu yang tidak boleh dikurangkan dalam apa-apa keadaaan seperti hak terhadap nyawa (Perkara 6), larangan terhadap hukuman berbentuk kejam (Perkara 7), larangan pengabdian (Perkara 8), larangan pemenjaraan atas alasan tidak dapat memenuhi obligasi kontrak (Perkara 11), hak perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakangan (Perkara 15), hak sebagai seorang manusia di bawah apa-apa undang-undang di mana jua (Perkara 16) serta kebebasan agama (Perkara 18). [x][10]

Walaupun piawaian dalam imbangan antara hak ramai dan hak individu adalah berbeza mengikut satu negara daripada negara lain, tetapi terdapat satu perkara yang umum iaitu terdapat peruntukan yang mengiktiraf bahawa hak individu boleh disekat demi kepentingan hak ramai.


Tinjauan terhadap Keputusan Kehakiman yang bersangkutan dengan Hak Asasi Manusia di Malaysia

Bagi individu, mahkamah merupakan harapan terakhir untuk mengutarakan kes pencabulan hak asasi manusia. Dengan meninjau kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah Malaysia, kita dapat menkaji pendekatan cabang kehakiman terhadap imbangan antara hak ramai dan hak individu.

Dalam kes Re Susie Teoh [xi][11], Hakim Mahkamah Tinggi YA Abdul Malek, memutuskan bahawa seorang bapa tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Penjagaan Anak 1961 untuk memilih agama bagi anaknya. Anaknya mempunyai hak di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih agamanya sendiri. Ringkasnya, seseorang bukan Islam yang berumur di bawah umur 18 tahun boleh menentukan agamanya sendiri dan tidak tertakluk kepada kehendak penjaganya.

Tetapi, keputusan ini dibalikkan di Mahkamah Agung.[xii][12] Di Mahkamah Agung telah diputuskan di bawah semua keadaan, demi kepentingan negara yang lebih utama (in the wider interests of the nation), seseorang minoriti[xiii][13] tidak mempunyai hak automatik untuk menerima ajaran berkaitan sesuatu agama tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaganya. Dalam keputusan ini, kepentingan ramai mengatasi hak seorang kanak-kanak untuk memilih agamanya yang dijamin di bawah Perkara 11.

Dalam satu kes yang lain, kes Hajjah Halimatussadiah[xiv][14], mahkamah memutuskan hak seorang kakitangan awam untuk memakai purdah adalah tertakhluk kepada perintah perkhidmatan awam. Dengan ini, hak ramai mengatasi hak individu seorang untuk memilih cara berpakaian demi alasan untuk mengekalkan disiplin di perkhidmatan awam.

Menurut keputusan kes Susie Teoh dan kes Hajjah Halimatussadiah, adalah jelas terdapat kecenderungan untuk memberi tempat yang lebih utama kepada hak ramai daripada hak individu.


Dalam kes Lau Dak Kee lwn Pendakwaraya[xv][15], Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa hak kebebasan bercakap adalah tertakhluk kepada undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

Dalam kes Madhavan Nair lwn Pendakwaraya[xvi][16], Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyoal penggunaan perkataan subjektif seperti “perlu” dan “mustahak” di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan. Selama Parlimen memenuhi keperluan prosedur dalam meluluskan undang-undang untuk mengongkong kebebasan bercakap, maka undang-undang itu tidak dapat dicabar atas alasan terlampau kongkong atau tidak munasabah.

Di bawah Perlembagaan India, terdapat keperluan untuk membuktikan bahawa batasan terhadap hak asasi manusia mesti munasabah. Di Mahkamah Malaysia, ujian yang diguna bukan kemunahsabahan tetapi samada pencabulan hak asasi tersebut adalah d bawah kuasa undang-undang yang dibenarkan. Adalah jelas bahawa kedudukan mahkamah Malaysia dalam kes pencabulan hak asasi manusia adalah berbeza dengan kedudukan mahkamah di India. [xvii][17]
Locus Standi

Dalam memperihalkan hak individu dan hak ramai, kita harus menkaji penerima pakai piawaian locus standi.

Di bawah Common Law, locus standi merujuk kepada hak seseorangan untuk memulakan pembicaraan di mahkamah. Dalam kes England, R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex p. Blackburn[xviii][18], Lord Denning memutuskan akan menidakkan locus standi kepada seseorang penyibuk yang menyentuhi hal yang tidak berkaitan dengannya tetapi akan memberikan locus standi kepada sesiapa yang mempunyai isu benar di mana sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku mempunyai kesan ke atasnya.

Di kes-kes yang diputuskan di Malaysia, , kes Lim Cho Hock lwn Kerajaan Negeri Perak [xix][19], mahkamah telah memutuskan bahawa bahawa plaintiff mempunyai locus standi di bawah alasan beliau mempunyai kepentingan persendirian yang benar untuk membawa kes tersebut.

Walau bagaimanapun, piawaian locus standi yang digunakan tidak dilanjutkan kepada seorang ahli politik walaupun beliau mengemukakan alasan bahawa dia seorang pengguna jalan serta pembayar cukai. Kes United Engineers (M) Berhad lwn Lim Kit Siang [xx][20], mahkamah Aguong memutuskan ahli politik tersebut tiada locus standi.

Dalam kedua-dua kes tersebut, nyata menunjukkan bahawa hak individu adalah dilindungi berasaskan kepentingan persendirian yang sebenar tetapi tidak terpakai untuk seorang wakil rakyat yang membawa kes tersebut berdasarkan kepentingan ramai.

Walaupun kes ini bukan berkenaan pencabulan hak asasi, keputusan tersebut secara tersiratnya bererti remedi terhadap pencabulan hak asasi diberi kepada individu yang mempunyai kepentingan persendirian sahaja.

Penutup:

Di Malaysia, konsep undang-undang [xxi][21] adalah ditakrifkan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Tiada terdapat peruntukan spesifik berkenaan undang-undang antarabangsa di bawah Perkara tersebut. Secara tersiratnya, ini bermakna undang-undang antarabangsa bukan sebahagian daripada sumber undang-undang bagi Malaysia.

Dalam ketika Malaysia berkembang menuju ke arah Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju, seharusnya terdapat satu usaha untuk mengikut arahtuju undang-undang antarabangsa. Undang-undang antarabangsa berkenaan Hak Asasi manusia merupakan satu jurisprudens yang tidak dapat dielakkan sekirannya Malaysia ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Seperti yang dicadangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)[xxii][22], kerajaan harus mengambil langkah untuk menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi terhadap 2 kovenan penting iaitu Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik serta Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.

Salah satu syarat yang harus dipenuhi apabila menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi kedua-dua dokumen penting itu ialah undang-undang domestik Malaysia yang terlalu berpusatkan hak ramai harus diberi kelonggaran.

Dalam satu zaman globalisasi serta perkembangan teknologi yang pesat, model perundangan yang terlalu berpandukan hak ramai tidak dapat memenuhi cabaran zaman. Dalam era ini, hak individu seperti hak terhadap rahsia diri, hak mendapatkan maklumat dan sebagainya harus diberi perhatian baru.

Konsep kontrak sosial yang diutarakan oleh Rosseau 2 abad lalu harus mendapat penghayatan semula. Ruang pergerakan manusia tidak terbatas lagi kepada ruang fizikal. Hari ini, transaksi perniagaan atau pembelajaran boleh dijalankan di Internet tanpa pertemuan fizikal. Apa yang penting ialah pertemuan minda yang tidak mengira ruang fizikal. Dengan itu, konsep hak ramai perlu diberi definisi baru. Satu titik imbangan baru antara hak ramai dan hak individu harus dicari.
[i][1] Kamus Dewan Edisi Baru 1989 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ms 394.
[ii][2] R.H. Hickling, Malaysian Public Law ms 117
[iii][3] Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia (Universal Islamic Declaration of Human Rights) http://ww.alhewar.com/ISLAMDECL.html
[iv][4] Nota Huraian 2: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[v][5] Nota Huraian 3: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[vi][6] Kevin Tan Yew Lee , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991, ms 420
[vii][7] Harding,A. : Law, Government and the Constitution in Malaysia, Malayan Law Journal, 1996 ms 189
[viii][8] Sunday Star December 3, 2000
[ix][9] Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat http://www.unhchr.ch/udhr/lang/mli.htm
[x][10] Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik http://heiwww.unige.ch/humanrts/instree/b3ccpr.hmt
[xi][11] [1986] 2 MLJ 228
[xii][12] Teoh Eng Huat lwn Kadhi, Pasir Mas [1990] 2 MLJ 301
[xiii][13] Mengikut Seksyen 2, Akta Majoriti 1971, seorang yang dewasa ialah mereka yang mencapai umur 18 tahun.
[xiv][14] Halimatusaadiah lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia [1992] 1 MLJ 513 (HC), [1994] 3 MLJ 61 (SC)
[xv][15] [1976] MLJ 229
[xvi][16] [1975]2 MLJ 264
[xvii][17] Kevin Tan Yew Lee , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991 ms 791)
[xviii][18] [1968] 2 QB 241
[xix][19] [1980] 2 MLG 148
[xx][20] [1988] SCR
[xxi][21] Perkara 160(2): “Undang-undang teramsuklah undang-undang bertulis, common law setakat mana ianya berkuatkuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
[xxii][22] Laporan Tahunan 2000 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, ms 28.

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?

Esei ini memenangi Hadiah Galakan Peraduan Menulis Makalah Undang-undang 2005
Anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa dan Pustake serta Institut Terjemahan Negara.
______________________________________

Tajuk:

Kekurangan butiran dalam pertuduhan seksual: Wajarkan tertuduh dibebaskan?




Oleh: Wong Hon Wai (B Jurisprudens (Malaya), CLP)
honwai_wong@yahoo.com
19 Oktober 2005


1. Pengenalan
Dalam satu perbicaraan jenayah, penyediaan pertuduhan oleh pihak pendakwa merupakan antara langkah permulaan yang paling kritikal. Kertas pertuduhan akan dibekalkan kepada tertuduh sebelum bermulanya perbicaraan. Fungsi pendrafan pertuduhan ialah memberi notis kepada tertuduh tentang kesalahan yang dipertuduh dan juga membolehkan Mahkamah untuk mengambil perhatian terhadap keterangan atau fakta yang hendak dibuktikan sepanjang perbicaraan.

Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa sesuatu petuduhan haruslah jelas, teratur dan mengikut undang-undang. Kes Lim Beh [1] yang berlaku di Negeri-negeri Selat dan dilaporkan dalam Kyshe’s Law Report pada tahun 1842 telah menghuraikan prinsip bahawa pertuduhan harus dinyatakan secara positif dan tepat untuk membolehkan tertuduh memahami pertuduhan supaya dia dapat bersedia untuk menjawab pertuduhan dengan cara yang terbaik sekali.

Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah [2] turut menyatakan secara prinsipnya bahawa pertuduhan hendaklah mengandungi butir-butir berkenaan dengan masa dan tempat serta orang yang berlakunya kesalahan dengan tujuan memberitahu secara mencukupi kepada tertuduh perkara yang dipertuduh itu.

Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah [3] juga menyatakan sekiranya butiran dalam Seksyen 153 dan 154 tidak memberi notis yang mencukupi terhadap pertuduhan, maka cara bagaimana yang kesalahan itu telah dilakukan hendaklah dinyatakan. Dalam kes AB Malek Atan [4], Mahkamah menyatakan perkataan merogol telah diterangkan di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan, maka pertuduhan di bawah mana-mana cabang di seksyen 375 boleh dihuraikan dalam pertuduhan sebagai “merogol” tanpa perlu mengenalpasti cabang mana kes itu digolongkan. Lanjutan itu, boleh disimpulkan bagi kesalahan seksual selain merogol, adalah perlu untuk menghuraikan cara bagaimana tindakan tersebut berlaku. [5]


Suatu pertuduhan boleh diputuskan sebagai tidak berasas oleh mahkamah perbicaraan seperti yang diputuskan dalam kes Chu Chee Peng.[6] Dalam kes ini, mahkamah perbicaraan menggunapakai Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah dan memerintah pelepasan tertuduh yang tidak terjumlah kepada pembebasan pada peringkat awal kes pendakwa.


Suatu pertuduhan juga boleh dikatakan gagal memenuhi piawaian prima facie pada akhir perbicaraan kes pendakwa ataupun piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan.[7] Dalam kedua-dua keadaan ini, satu perintah pembebasan akan dikeluarkan. Satu perintah pembebasan adalah berbeza dengan satu perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan. Perintah pembebasan akan membolehkan satu belaan autrefois acquit terhadap pertuduhan kesalahan yang sama. Prinsip autrefois acquit ini adalah dijamin di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan. [8]

Sabitan juga boleh diketepikan atas rayuan dan perintah pembebasan dikeluarkan berdasarkan sebab pertuduhan yang cacat seperti yang dihuraikan dalam kes Yeap Sing Hock.[9] Mahkamah yang dirayu juga boleh memberi arahan perbicaraan semula dan kes diremit kepada mahkamah perbicaraan.

Dengan itu, pendrafan pertuduhan menjadi sesuatu yang kritikal bagi mensabit pesalah. Kecukupan butiran dalam pertuduhan merupakan satu persoalan fakta yang harus ditentukan oleh Mahkamah.

Isu kekurangan butiran dalam pertuduhan telah dibangkitkan oleh pembela dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan kesalahan seksual meliwat iaitu kes Dato Seri Anwar Ibrahim. [10] Mahkamah Persekutuan telah menyampaikan keputusan kes tersebut pada 2hb September 2004.

Lanjutan daripada itu, kekurangan butiran dalam pertuduhan turut dibangkitkan oleh pembela dalam satu kes merogol iaitu kes Azahan Mohd Aminallah. [11]Mahkamah Rayuan memberi penghakiman pada 25hb Oktober 2004.

Atas perkembangan terkini ini, makalah ini cuba mengupas isu kekurangan butiran dalam kesalahan seksual dan membuat penilaian kewajaran satu perintah pembebasan dibuat akibat kekurangan butiran tersebut.


2. Butiran masa dan belaan alibi

Dalam kes Ku Lip See (1982) [12], Mahkamah Persekutuan telah diajukan dengan soalan undang-undang iaitu dalam satu kes di mana pendakwa tidak menyatakan secara spesifik masa dan tempat kesalahan dilakukan, samada tertuduh akan dihalang daripada mengemukakan belaan alibi memandangkan kegagalannya untuk memberi notis statutori yang ditetapkan di bawah Seksyen 402A Kanun Tatacara Jenayah.

Fakta kes ini menunjukkan tertuduh telah dipertuduh di bawah kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Butiran kesalahan ialah ia dilakukan pada jam 7pm antara bulan Mei dan Jun 1978 di Kampong Ulu Pandan, Plentong, Johor Bahru. Mahkamah menyatakan butiran tersebut sudah mencukupi untuk tertuduh menjawab pertuduhan dan mengemukakan pembelaan alibi.

Mahkamah menerima pakai tafsiran seksyen 11(8) English Criminal Justice Act yang memberi tafsiran “evidence in support of an alibi” (keterangan meyokong satu alibi) bermaksud keterangan yang mempunyai kecenderungan untuk menunjukkan atas sebab kehadiran defendan di satu tempat tertentu atau masa tertentu, maka ia bukan atau besar kemungkinan bukan berada pada masa dan tempat di mana kesalahan itu dipertuduh.

Dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan dengan sebulat suaranya mengesahkan keputusan kes Ku Lip See. Butiran masa dalam kes pertuduhan Dato Seri Anwar Ibrahim ialah kesalahan dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Dalam kes Azahan Mohd Aminallah pula, tertuduh dituduh di bawah 4 pertuduhan merogol anak perempuan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Fakta tarikh pertuduhan-pertuduhan tersebut ialah
· Pertuduhan 1: Pada awal Desember, 1996 lebih kurang 2.30pm
· Pertuduhan 2: Pada satu hari Ahad dalam tahun 1994
· Pertuduhan 3: Pada satu hari Jumaat pada tahun 1996 lebih kurang 1.30pm
· Pertuduhan 4: Pada tahun 1991.

Hakim Gopal Sri Ram HMR telah membuat pemerhatian berikut dalam penghakiman di Mahkamah Rayuan: “Bahawa kekurangan butiran berkenaan tarikh kesalahan telah melemahkan secara keseluruhan atau secara substantif kebarangkalian satu pembelaan alibi yang mungkin dibangkitkan oleh tertuduh.“

Walau bagaimanapun, Hakim Gopal Sri Ram telah menyatakan dengan jelas selanjutnya bahawa penghakiman tersebut tidak mengasaskan satu cadangan sesuatu pertuduhan yang tidak mengandungi tarikh yang spesifik itu cacat dan pesalah wajar dibebaskan. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tertuduh, sabitannya dibatalkan dan hukuman diketepikan dan tertuduh dibebaskan. Asas penghakiman ini ialah terdapat kesilahan-kesilapan kritikal lain dalam perbicaraan yang telah menyebabkan kegagalan atau salah terlaksana keadilan. Memandangkan tertuduh telah pun dipenjara selama tujuh tahun dan pertuduhan asal telah dilakukan lapan tahun dahulu, maka perbicaraan semula tidak diperintahkan.

Dengan ini, melalui rentetan kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan jelas menunjukkan walaupun butiran masa adalah berbentuk satu tempoh masa dan bukan masa spesifik, pertuduhan tersebut tidak cacat walaupun tertuduh mempunyai peluang tipis untuk berjaya dalam belaan alibi. Saya berhujah pertuduhan yang berbentuk tempoh masa juga mempunyai kesan sampingan yang memihak kepada tertuduh memandangkan sekiranya perintah pembebasan diberikan, maka belaan autrefois acquit akan diberikan kepada tertuduh untuk tempoh masa dalam pertuduhan tersebut.



3. Lembaran baru dalam Kes Dato Seri Anwar Ibrahim
Keputusan ketiga-tiga hakim dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim walaupun bersetuju dalam mengesahkan ratio decidendi bagi kes Ku Lip See, tetapi telah berbeza pendapat berkenaan keperluan pembuktian masa sebagai intipati pertuduhan.

Dalam kes ini, dua orang tertuduh dewasa telah dipertuduh atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan. Butiran pertuduhan yang dipinda menyatakan kesalahan tersebut dilakukan pada satu malam antara bulan Januari hingga Mac 1993.

Keputusan majoriti yang disampaikan oleh Abdul Hamid Mohamad HMP dan Tengku Baharudin HMR ini menyatakan pertuduhan mengandungi butiran yang mencukupi seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah. Tetapi, keputusan majoriti ini telah melangkau satu langkah lebih jauh dan menyatakan butiran pertuduhan berkenaan masa wajib dibuktikan. Perkataan “The charge shall contain such particulars as to the time…” (Pertuduhan hendaklah mengandungi buitran berkenaan masa…) dalam seksyen 153(1) diputuskan sebagai kewujudan maksud imperatif dan kewajipan, maka dengan itu “time” (masa) dalam seksyen 153(1) ditafsirkan sebagai “date or period” (tarikh atau tempoh) dan ia mesti dibuktikan.

Dalam menyampaikan keputusan menentang pula, Rahmah Hussan HMR pula berbeza pendapat dan menyatakan intipati utama ialah tindakan seksual dan identiti pesalah. Menurutnya, adalah silap untuk menyatakan bahawa tarikh merupakan satu intipati pertuduhan.

Mengikut fakta kes ini, saksi yang juga merupakan rakan sejenayah telah memberikan keterangan bercanggahan berkenaan masa sebanyak tiga kali iaitu bulan Mei 1994 , Mei 1992 dan Januari hingga Mac 1993. Terdapat juga isu pengakuan tertuduh kedua yang dibuat secara bukan sukarela. Oleh itu, dalam ketiadaan keterangan sokongan lain, keputusan majoriti menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh-tertuduh atas keterangan seorang rakan sejenayah. Rayuan tertuduh-tertuduh dibenarkan dan dan mereka dibebaskan.
Saya berhujah kes Dato Seri Anwar Ibrahim ini diputuskan mengikut faktanya sendiri dan tidak mengikat untuk semua kes kesalahan seksual. Sekiranya pembuktian tarikh diperlukan, maka adalah amat mencabar untuk mensabitkan pesalah seksual yang mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang barangkali hanya melaporkan kesalahan kepada orang terdekat beberapa tahun selepas kejadian.

Dalam aspek ini, apa yang dikatakan oleh Hakim Rougier dalam kes English R v Evans [13] harus direnungi. Menurutnya, bagi kes penganiayaan atau kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku pada satu tempoh yang panjang dan berulang-kali, adalah tidak realistik untuk mengharapkan kanak-kanak tersebut untuk mengingati tarikh sebenar. Ini disebabkan oleh peredaran masa dan juga kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk melupai peristiwa yang tidak disenangi. Sekiranya, tarikh sebenar tersebut wajib dibuktikan, ini seolah-olah memberi satu perisai selaku pelindung kepada pesalah daripada hukuman undang-undang.

4. Ujian 2 Peringkat yang dipelopori di Kanada
Saya berhujah kes Mahkamah Agong Kanada, R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) [14] harus dirujuk. Dalam kes kesalahan seksual ini, isu pokoknya ialah samada masa ialah satu elemen asas yang harus dibuktikan secara melampaui keraguan yang munasabah. Ujian yang dipelopori oleh Mahkamah Agong Kanada ini ialah ujian 2 peringkat.

Ujian Pertama: Apabila masa kesalahan tidak dapat ditentukan dengan tepatnya ataupun berkonflik dengan keterangan, maka soalan yang harus ditanya ialah sama ada masa ialah satu elemen asas kepada kesalahan ataupun ia sangat penting bagi kes pembela.

Hanya jika ujian pertama dijawab secara positif, barulah perbincangan diteruskan ke peringkat kedua iaitu samada masa telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Dengan hormatnya, saya berhujah ujian 2 peringkat ini menarik dari segi konsepnya dan memberikan satu huraian yang lebih konkrit berbanding keputusan majoriti kes Dato Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai misalannya, butiran masa kesalahan adalah penting bagi kesalahan rogol secara statutori di bawah Seksyen 375(6) Kanun Keseksaan. Butiran masa kesalahan penting untuk menentukan samada persetubuhan tersebut berlaku sebelum atau selepas umur 16 tahun mangsa. [15]

Satu contoh lain tentang butiran masa sebagai elemen penting dalam kesalahan seksual ialah anggapan undang-undang di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 bahawa seorang budak lelaki di bawah umur 13 tahun tidak berupaya melakukan rogol.

Tambahan pula, butiran masa kesalahan penting bagi penentuan bidang kuasa dan prosedur perbicaraan bagi kes pesalah muda yang berumur kurang daripada 18 tahun. [16] Bagi pesalah muda kategori ini, mereka akan dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Pesalah yang melakukan kesalahan seksual selepas umur 18 tahun pula akan dibicarakan di Mahkamah biasa. Tarikh penentuan ialah tarikh kesalahan dilakukan dan bukan tarikh pertuduhan. [17]

Dalam ketiga-tiga contoh yang saya huraikan tadi, adalah jelas masa adalah elemen penting dalam pertuduhan, maka masa harus dibuktikan secara melampaui keraguan munasabah. Bagi kes-kes di mana masa bukan elemen penting, maka tiada kewajipan untuk membuktikan secara melampaui keraguan munabah. Ia tetap satu jenayah tidak kira bila ia dilakukan.

Di sini, saya ingin mengulangi apa yang diutarakan oleh Hakim Atkin dalam satu kes English berkenaan kesalahan seksual iaitu kes Severo Dossi (1908) [18] iaitu “Sejak dahulu lagi, satu masa yang dinyatakan dalam satu pertuduhan tidak akan akan mejadi satu perkara teras kecuali ia sebenarnya adalah bahagian penting dalam kesalahan yang dipertuduh tersebut”.


5. Kesimpulan
Berbeza dengan England, sistem keadilan jenayah di Malaysia tidak mengamalkan pendekatan penzahiran sebelum perbicaraan Dalam kes-kes kehakiman yang telah diputuskan [19], tertuduh hanya berhak untuk mendapat dokumen-dokumen tertentu sahaja sebelum perbicaraan. Dokumen-dokumen tersebut ialah salinan kertas pertuduhan, laporan maklumat pertama, laporan beramaran tertuduh sendiri dan dokumen-dokumen lain yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Oleh itu, tertuduh bergantung kepada maklumat dalam kertas pertuduhan dan dokumen-dokumen lain untuk menyediakan pembelaannya.

Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah [20] menyatakan kesan kesilapan atau ketinggalan memperihalkan kesalahan butiran tidak boleh dianggap sebagai material, kecuali tertuduh itu sebenarnya telah terkeliru oleh sebab kesilapan atau ketinggalan itu.

Seksyen 153(1), Seksyen 154 dan dibaca bersama-sama Seksyen 156 sebenarnya mengenakan kewajipan ke atas pihak pendakwa untuk menyatakan butiran pertuduhan demi melindungi hak tertuduh supaya tertuduh dapat menjawab pembelaannya secara mencukupi. Dengan hormatnya, saya berhujah keputusan majoriti Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengenakan kewajipan pembuktian tarikh adalah terhad kepada fakta dalam kes tersebut sahaja.

Adalah menjadi amalan mantap seperti dinyatakan dalam kes R v Saunders [21] bahawa mahkamah rayuan tidak memerintah satu perbicaraan semula dan membebaskan tertuduh sekiranya kes itu telah menunggu selama lebih kurang 4 tahun. Dalam kes Azahan, tertuduh dibebaskan dan tiada perbicaraan semula diperintah berdasarkan pertimbangan bahawa tertuduh telah menjalani pemenjaraan selama 7 tahun.

Sebagai kesimpulan, kekurangan butiran masa per se dalam pertuduhan kesalahan seksual ini sebenarnya tidak mewajarkan pembebasan tertuduh. Perintah pembebasan hanya wajar sekiranya pendakwa gagal mencapai piawaian prima facie pada akhir kes pendakwa atau piawaian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes perbicaraan di mana terdapat kecacatan dari segi intipati pertuduhan seperti membuktikan kemasukkan zakar, pembuktian umur mangsa dalam kes rogol statutori atau identiti pesalah.




Bibliografi

[1] Lim Beh & Ors. v. Opium Farmer[1842] 3 KY 10 c.t 12 per Nowis RJ.

[2] Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah: Particulars as to time, place and person
“(1) The charge shall contain such particulars as to the time and place of the alleged offence and the person, if any, against whom or the thing, if any, in respect of which it was committed as are reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged”

[3] Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah: When manner of committing offence must be stated:
“When the nature of the case is such that the particulars mentioned in section 153 and 154 do not give the accused sufficient notice of the matter with which he is charged, the charge shall also contain such particulars of the manner in which the alleged offence was committed as will be sufficient for that purpose”

[4] AB Malek Atan lwn Pendakwa Raya [2002] 6 CLJ 405

[5] Contoh pertuduhan Seksyen 377B Kanun Keseksaan – persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii – memasukkan zakar ke dalam mulut atau dubur

Contoh pertuduhan Seksyen 377D – melakukan perbuatan kelucahan melampau -- dengan mnghisap kemaluannya.

[6] Chu Chee Peng lwn Pendakwa Raya [1973] 1 LNS 18

[7] Looi Kaw Chai lwn Pendakwa Raya [2003] 1 CLJ 734 dan Balachandran lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 85

[8] Artikel 7(2) Perlembagan Persekutuan:
“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan…. tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga kecuali jika…. pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintah oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebas”

[9] Yap Sing Hock lwn Pendakwa Raya [1993] 1 BLJ 35

[10] Dato Seri Anwar Ibrahim lwn Pendakwa Raya [2004] 3 CLJ 737

[11] Azahan Mohd Aminallah lwn Pendakwa Raya [2005] 1 CLJ 374

[12] Ku Lip See lwn Pendakwa Raya [1982] 1 MLJ 194

[13] R v Evans [1995] Crim LR 245

[14] R. v. G.B., A.B., C.S. (1990) 2 S.C.R

[15] Jamaluddin Hashim lwn Pendakwa Raya [1999] 3 CLJ 640 dan Mohd Salleh Mk Mohd Yusof lwn Pendakwa Raya [2005] 2 CLJ 655

[16] Seksyen 2(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan seorang kanak-kanak ialah
(a)Seorang yang di bawah umur 18 tahun dan
(b) Dalam perkara berkenaan prosiding jenayah, seorang yang telah mencapai umur tanggungjawab jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 82 Kanun Keseksaan.

[17] Baljit Singh Sidhu, An Overview of the Child Act 2001 and the Criminal Procedure Aspects, [2003]2 MLJ xlix.

[18] Hakim Atkin dalam kes Severo Dossi 13 Cr. App. R158
“From time immemorial a date specified in an indictment has never been a material matter unless it is actually an essential part of the alleged offence”

[19] Laporan Forum Hak Untuk Satu Perbicaraan Yang Cepat dan Adil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada 7-8 April 2005.

[20] Seksyen 156 Kanun Tatacara Jenayah: Effect of errors
“No error in stating either the offece or the particulars required to be stated in the charge, and no omission to state the offence or those particulars, shall be regarded, at any stage of the case, as material unless the accused was in fact misled by that error or omission.”

[21] R v Saunders – [1974] 58 Cr App R 248

Saturday, March 11, 2006

Hukuman kepada pesalah bagi perlakuan jenayah terhadap wanita masih terlalu ringan?

Hukuman kepada Pesalah Bagi Perlakuan
Jenayah Terhadap Wanita Masih Terlalu Ringan?

Mukadimah

Pada kebelakangan ini, kes-kes jenayah terhadap wanita mendapat liputan menonjol dalam media massa. Perangkaan kes rogol yang dilaporkan telah meningkat dari 368 kes pada tahun 1980 ke 668 kes pada tahun 1987 dan 1418 kes pada tahun 2002 iaitu 4 kali ganda dalam masa dua dekad.

Sebenarnya, jenayah terhadap wanita bukan sahaja merujuk kepada kes rogol tetapi juga merangkumi skop yang lebih luas. Menurut Deklarasi Beijing yang dilafazkan di Perhimpunan Wanita Sedunia Keempat 1995 tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, keganasan terhadap wanita diertikan sebagai sebarang tindakan yang berlaku dalam ruang awam atau persendirian yang kesannya akan memberi kemudaratan atau penderitaan berbentuk fizikal, seksual dan psikologi terhadap wanita dan ini termasuk ancaman, pemaksaan serta pelucutan hak asasi secara sewenang-wenangnya.

Menurut Kamus Dewan , wanita diertikan sebagai orang perempuan, lawannya ialah lelaki. Takrifan perkataan perempuan dalam Kanun Keseksaan diberi dalam Seksyen 10 iaitu seorang perempuan walaupun berapa umurnya. Dengan membaca bersama maksud kamus serta maksud kanun, boleh disimpulkan isu jenayah terhadap wanita merujuk kepada kes-kes mangsanya ialah perempuan dari golongan bayi perempuan hingga nenek tua.


Kategori Jenayah terhadap Wanita Di Malaysia

Menurut Abdul Aziz Hussin, jenayah ialah suatu perbuatan yang salah atau peninggalan yang menjadi kesalahan terhadap awam dan membolehkan orang-orang yang melakukannya dipertanggungjawabkan untuk menerima hukuman di sisi undang-undang. Jenayah terhadap wanita di Malaysia dikuatkuasakan oleh Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen 349 memperuntukan kekerasan jenayah dan ini terpakai dalam kes keganasan rumahtangga yang melibatkan suami memukul isteri.

Rogol pula didefinisikan di bawah seksyen 375 sebagai perlakuan memasukkan zakar ke dalam kemaluan wanita tanpa keizinannya. Rogol berkanun berlaku dalam kes seorang lelaki memasukkan zakar ke dalam kemaluan seorang budak perempuan di bawah 16 tahun dengan atau tanpa kerelaannya. Pesalah yang disabitkan di bawah seksyen 375 akan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta juga boleh dikenakan sebatan rotan.

Untuk kes jenayah seksual di mana kemasukan alat kemaluan lelaki tidak berlaku, seksyen 354 terpakai untuk pendakwaan terhadap pesalah yang menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Untuk kes di mana zakar dimasukkan ke dalam dubur atau mulut seseorang yang lain, pesalah itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Seksyen 377A dan Seksyen 377C membezakan persetubuhan dengan kerelaan dan tanpa kerelaan. Hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan adalah seberat hukuman rogol.

Sumbang mahram didefinisikan di bawah seksyen 376A sebagai persetubuhan di mana dua pihak ditegah dari segi undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin. Hukuman bagi sumbang mahram lebih berat daripada rogol iaitu hukuman penjara tidak kurang dari 6 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan sebatan rotan adalah wajib.

Sementara itu, perkataan, isyarat, bunyi atau apa-apa benda yang ditunjukkan untuk mengaib kehormatan dan mengganggu kesantunan seseorang adalah dihukum di bawah Seksyen 509.

Ringkasan kategori jenayah terhadap wanita dan hukumannya adalah seperti di jadual berikut.








Seksyen di bawah Kanun
Keseksaan Jenis hukuman Hukuman penjara minimum Hukuman penjara maksimum Hukuman Lain
349: Kekerasan Jenayah.
Hukuman di bawah 352 Penjara atau denda atau kedua-duanya 3 bulan Denda maksimum RM1000

354: Kekerasan dengan niat mencabul kehormatan
Penjara atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksaan
10 tahun
Boleh didenda atau disebat

375: Rogol.
Hukuman di bawah 376
Penjara
atau penjara dengan sebatan
5 tahun
20 tahun
Boleh dikenakan sebatan

376A: Sumbang mahram.
Hukuman di bawah 376B
Penjara
dan sebatan
6 tahun
20 tahun
Hendaklah dikenakan sebatan.

377A: Persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (dengan kerelaan).
Hukuman di bawah 377B
Penjara atau penjara dengan sebatan
20 tahun
Boleh dikenakan sebatan

377C: Persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (tanpa kerelaan)
Penjara atau penjara dengan sebatan
5 tahun
20 tahun
Boleh dikenakan sebatan

509: Perkataan/isyarat yang mengaibkan kehormatan
Penjara atau denda atau kedua-duanya
5 tahun
Boleh didenda.

Jadual 1: Kategori Jenayah Terhadap Wanita dan Hukumannya di Malaysia
Kajian Perbandingan dengan Negara Singapura dan India

Memandangkan jenayah rogol dan sumbang mahram mendapat liputan menonjol dalam media masa, maka kedua-dua jenayah dikaji dengan lebih terperinci dengan kajian perbandingan dengan Kanun Keseksaan Singapura dan India . Dari segi sejarah perundangan, Kanun Keseksaan Malaysia dan Singapura adalah lahir dari Kanun Keseksaan India.

Jadual berikut menunjukkan hukuman bagi jenayah rogol di Malaysia, Singapura dan India.

















Seksyen berkenaan Rogol Hukuman Penjara Minimum Hukuman Penjara Maksimum Hukuman lain
376 [Malaysia]
Rogol 5 tahun 20 tahun Boleh dikenakan sebatan
376(1) [Singapura]
Rogol 20 tahun Boleh didenda dan disebat
376(2)[Singapura]
Rogol dengan sengaja menyebabkan kecederaan atau ancaman terhadap kematian/kecederaan
8 tahun 20 tahun Sebatan minimum tidak kurang daripada 12 sebatan.
S376 (1) [India]
Rogol 7 tahun Seumur hidup* Denda
S376(2) [India]
Rogol dengan unsur keruncingan. Pesalah ialah polis, pegawai awam, rogol berkumpulan, si mangsa di bawah 12 tahun atau rogol terhadap mangsa yang mengandung
10 tahun Seumur
hidup*


Jadual 2: Hukuman rogol di Malaysia, Singapura dan India



Jadual berikutnya menunjukkan hukuman jenayah sumbang mahram di Malaysia dan Singapura. Tidak terdapat seksyen spesifik bagi sumbang mahram di bawah Kanun Keseksaan India.

Hukuman Undang-undang sumbang mahram Hukuman Penjara minimum Hukuman Penjara maksimum Hukuman lain
376A [Malaysia] 6 tahun 20 tahun Hukuman sebat adalah wajib
376B dan 376C [Singapura]
5 tahun

Untuk mangsa perempuan di bawah 14 tahun, hukuman penjara maksimum ialah 14 tahun

Jadual 3: Hukuman sumbang mahram di Malaysia dan Singapura


Cadangan meningkatkan hukuman
Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan menyeru kerajaan untuk mengkaji semula Kanun Keseksaan bagi menambahkan hukuman berat ke atas kes rogol dan sumbang mahram.

Antara cadangan tersebut ialah sebatan wajib, meningkatkan hukuman minimum, meningkatkan hukuman maksimum, teknik pengembirian untuk pesalah, hukuman penjara sampai akhir hayat serta hukuman mati. Setiap cadangan tersebut akan dinilai berikutnya.
Penilaian terhadap cadangan sebatan mandatori ke atas jenayah rogol di bawah S375
Pada masa ini, satu-satunya seksyen berkenaan jenayah terhadap wanita yang mewajibkan sebatan ialah di bawah S376B. Seksyen 376 memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman sebatan ke atas dakwaan rogol di bawah seksyen 375. Saya berhujah undang-undang masa ini harus dikekalkan dan budi bicara harus terletak pada tangan mahkamah.

Dalam Zamzuri Nazari lwn Pendakwaraya , Mahkamah Tinggi telah mengesahkah hukuman 7 tahun penjara tetapi membatalkan hukuman 6 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Seksyen ke atas pesalah yang bersalah di bawah rogol berkanun. Tuan Hakim Chin Fook Yuen dalam pemutusannya menyatakan oleh kerana tiada keganasan serta ancaman keganasan terhadap mangsa serta pesalah telah memberi tempat perlindungan dan membekal makanan kepada mangsa selama lebih 10 tahun, maka diputuskan hukuman 7 tahun penjara tanpa sebatan adalah mencukupi dan adil.


Penilaian terhadap cadangan sebatan ke atas pesalah yang berumur lebih daripada 50 tahun
Di bawah Seksyen 289, Kanun Prosedur Jenayah, 3 kategori orang dikecualikan sebatan iaitu perempuan, orang yang dihukum mati dan lelaki berumur 50 tahun ke atas.

Terdapat argumen bahawa sekiranya seorang lelaki berumur lebih 50 tahun mampu melakukan jenayah seksual, maka ia boleh tahan disebat. Pada pandangan saya, seksyen 289 harus diubah supaya hukuman sebatan boleh dilakukan ke atas lelaki berumur 50 tahun ke atas dengan syarat pemeriksaan serta kesahan oleh dua orang doktor harus dilakukan sebelum sebatan. Dengan perubahan ini, anggapan undang-undang bahawa lelaki berumur 50 tahun adalah tidak sesuai secara fizikal untuk disebat akan diganti dengan pendapat professional perubatan.

Penilaian terhadap cadangan meningkatkan had minimum hukuman 15 tahun ke atas kes sumbang mahram yang tanpa persetujuan.

Terdapat laporan bahawa Kabinet bersetuju untuk membuat pindaan undang-undang berkenaan kes sumbang mahram yang tanpa persetujuan. Hukuman yang dicadangkan ialah hukuman penjara minimum 15 tahun dan maksimum 30 tahun serta minimum 10 kali sebatan.

Peruntukan mengenai sumbang mahram pada masa ini tidak membezakan antara sumbang mahram antara dua pihak yang saling bersetuju atau sumbang mahram tanpa persetujuan. Peruntukan spesifik ini adalah dialu-alukan kerana ia menggambarkan masyarakat berasa keji, meluak dan mengutuk tindakan tersebut. Tetapi, hukuman minimum 15 tahun adalah amat berat iaitu 3 kali ganda daripada rogol dan lebih 2 kali ganda daripada sumbang mahram antara dua pihak yang bersetuju.

Penilaian terhadap cadangan meningkatkan had hukuman maksimum
Salah satu cadangan yang seringkali timbul ialah meningkatkan had hukuman maksimum kepada lebih dua puluh tahun atau hukuman sampai akhir hayat pesalah.

Pada pendapat saya, hukuman penjara yang terlampau lama atau sehingga mati, pesalah akan cenderung membunuh mangsa demi mengelakkan tangkapan dan pendakwaan. Tambahan pula, golongan ini akan tidak ragu-ragu untuk lari dari penjara dan dalam proses tersebut tidak teragak-agak membunuh pegawai penjara kerana mereka tiada apa-apa kerugian kecuali nyawa mereka yang tidak bernilai sekirannya dalam penjara sehingga mati.
Di samping itu, tempoh pemenjaraan yang disebut di atas akan memberi tekanan besar kepada sistem pentadbiran penjara. Ini memandangkan tempoh pemenjaraan yang lama dan kategori pesalah ini harus diasingkan daripada banduan-banduan lain.
Ini juga bertentangan dengan tujun menjatuhkan hukuman kepada pesalah-pesalah iaitu memberi keinsafan dan tujuan pemulihan agar mereka pulang ke pangkal jalan dan menjadi rakyat yang berguna serta mematuhi undang-undang.

Penilaian terhadap cadangan hukuman pengembirian secara suntikan ubat (castration)
Terdapat cadangan untuk mereka yang melakukan jenayah rogol berulangan, pengembirian harus dilakukan untuk menjadikan mereka tidak berupaya melakukan jenayah terhadap wanita. Sehingga ini, tiada penyelidikan yang menunjukkan bahawa pengembirian secara suntikan ubat adalah satu hukuman yang bersesuaian. Tambahan pula, kesan sampingan pemakaian hukuman ini termasuk kesan psikologi terhadap pesalah belum dikaji.

Penilaian terhadap cadangan hukuman mati ke atas perogol
Saya berhujah hukuman mati semata-mata tidak dapat mengurangkan jenayah terhadap wanita. Setakat ini, tiada penyelidikan yang menunjukkan bahawa hukuman mati bertindak sebagai halangan yang berkesan dalam jenayah terhadap wanita.

Tambahan pula, dalam kes sumbang mahram, hukuman mati ke atas pesalah akan mendatangkan akibat kes tidak dilaporkan oleh si mangsa atau ahli keluarga yang mengetahui kejadian. Mangsa dan keluarga akan didorong berdiam diri kerana sabitan kes akan membawa kepada kematian seorang ahli keluarga.

Dari segi yang lain, seorang perogol berkemungkinan akan membunuh mangsanya kerana penalti bagi membunuh orang di bawah seksyen 302 dan merogol adalah sama iaitu hukuman mati.

Cadangan bahawa perogol yang menyebabkan kematian akan dihukum mati bukanlah sesuatu yang baru. Sebenarnya, kesalahan membunuh di Malaysia membawa kepada hukuman mati di bawah seksyen 302.

Penilaian terhadap cadangan kategori baru rogol dengan unsur keruncingan ditambah
Terdapat pihak yang mengkritik bahawa undang-undang rogol di Malaysia tidak mempunyai unsur keruncingan seperti Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India misalnya mempunyai hukuman spesifik terhadap rogol berkumpulan, rogol terhadap wanita hamil, pesalah ialah polis atau pegawai awam,

Pada pendapat saya, kategori di bawah Kanun Keseksaan India bukanlah satu senarai lengkap yang tertutup. Faktor keruncingan seperti pesalah yang mengetahui dirinya menjangkiti AIDS atau penyakit berjangkit seks misalnya tidak dalam senarai keruncingan Kanun Keseksaan India.

Parlimen biasanya menggariskan hukuman penjara maksimum dan hukuman sebatan maksimum, adalah menjadi budi-bicara mahkamah untuk menilai setiap unsur keruncingan dan menjatuhkan hukuman yang setimpal. Pada pandangan saya, budibicara kehakiman dalam menjatuhkan tempoh hukuman yang berpatutan tidak harus dikongkong oleh Parlimen.

Untuk menunjukkan betapa seriusnya jenayah terhadap wanita, hukuman penjara minimum bagi kesalahan rogol dan sumbang mahram ditetapkan sebagai 5 tahun dan 6 tahun masing-masing.

Sekiranya hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tidak mencukupi, maka mahkamah lebih tinggi boleh memanggil kes tersebut untuk semakan.

Tambahan pula, pihak Pendakwaraya boleh membuat rayuan terhadap hukuman sekiranya ia adalah tidak berkadaran dengan kesalahan. Ini diperuntukkan di bawah Bab XXX Kanun Acara Jenayah. Di samping itu, di bawah Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah, seseorang hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod sebarang penghakiman jenayah dalam mana-mana mahkamah yang lebih rendah untuk menentukan antara lain samada hukuman adalah setimpal dengan kesalahan.


Terdapat pendapat bahawa hukuman minimum tersebut adalah satu usaha untuk mengurangkan ketidakseragaman hukuman. Isu ketidakseragaman hukuman ada kebenarannya dan disahkan oleh satu kajian tentang penghukuman undang-undang jenayah di Malaysia pada tahun 1992 hingga 1994.

Sekali pandang, untuk mengelakkan ketidakseragaman hukuman, budi-bicara kehakiman dihadkan. Salah satu pendekatan ialah legislatif menggariskan hukuman minimum.

Sejarah Pindaan Kanun Keseksaan
Penelitian terhadap sejarah pindaan berkenaan jenayah terhadap wanita dalam Kanun Keseksaan telah menunjukkan pindaan telah dibuat pada tahun 1989 serta 2001.

Dalam pindaan tahun 1989, umur mangsa rogol berkanun ditingkatkan dari 14 tahun ke 16 tahun. Pindaan kepada tempoh hukuman penjara jenayah rogol telah ditingkatkan menjadi hukuman minimum bagi rogol ialah 5 tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. Sebelum ini, penalti bagi kesalah merogol diseksa dengan penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau sebat. Di samping itu, seksyen 354 telah dipinda dengan meningkatkan hukuman maksimum mencabul kehormatan dari 2 tahun ke 10 tahun.

Dalam pindaan 2001, satu seksyen baru telah ditambah iaitu seksyen 376A berkenaan dengan jenayah sumbang mahram. Sebelum ini, kes sumbang mahram dianggap setara dengan rogol. Jika dibandingkan dengan dulu, hukuman sumbang mahram bertambah berat iaitu minimum 6 tahun dan hendaklah disebat.

Suatu hukuman yang betul harus menggambarkan kepentingan umum dalam 2 cara iaitu bertindak menghalang serta menakutkan mereka yang cuba melakukan jenayah serta menghalang pesalah daripada berulangnya melakukan jenayah.

Kes Sia Ah Kew statut berbentuk seksa biasanya menggariskan hukman maksimum dan/atau hukuman minimum. Hukuman maksimum biasanya untuk jenayah yang paling serios dalam jenisnya manakala hukuman minimum untuk hukuman yang kurang serious.

Kes Pendakwaraya lwn Shari Abd Wahad , Hakim YA Dato Haji Abdul Malik
Prinsip serta garis panduan dalam hukuman bergantung kepada keberatan kesalahan, kepentingan untuk menitikberatkan ketidaksetujuan awam, keperluan sebagai amaran kepada orang lain, keperluan sebgai menghukum pesalah, keperluan untuk melindungi orang awam serta keperluan memenuhi kepentingan awam.

Dalam kes Pendakwaraya lwn Loo Choon Fatt , Yang Arif Hashim Yeop Sani menyatakan dalam penghukuman hanay terdapat garis panduan umum. Fakta setiap kes adalah berbeza dan setiap kes harus diputuskan menurut meritnya.

Parlimen menetapkan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan, tetapi mahkamah akan menggunakan budi-bicaranya untuk menentukan hukuman yang bersesuaian bergantung kepada faka kes serta pertimbangan fakta peringanan hukuman.

Rumusan tentang Kenaikan Hukuman Jenayah Terhadap Wanita
Pada pendapat saya, menambahkan keberatan hukuman ke atas jenayah terhadap wanita bukanlah penyelesaiaan kepada pencegahan dan pengurangan jenayah. Ini berdasarkan fakta bahawa kes rogol sebelum pindaan Kanun Keseksaan 1989 (dari hukuman maksimum 10 tahun ke hukuman maksimum 20 tahun) tidak menunjukkan kadar penurunan (668 kes pada tahun 1987 dan 1418 kes pada tahun 2002).

Kelemahan dalam Undang-undang Jenayah terhadap Wanita
Kanun Keseksaan Malaysia adalah lahir dari Kanun Keseksaan India pada tahun 1932. Dalam tempoh 70 tahun ini, terdapat X kali pindaan dibuat. Dengan peredaran zaman, perlakuan jenayah terhadap wanita juga menjadi lebih kompleks.
Contohnya, Kanun Keseksaan tidak memperuntukan secara spesifik jenayah memasukkan objek seperti kayu atau rod besi ke dalam kemaluan mangsa. Pesalah boleh didakwa di bawah subjek kekerasan dengan niat mencabul kehormatan dalam seksyen 354 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan. Pada pendapat saya, hukuman maksimum di bawah seksyen 354 harus ditingkatkan ke 20 tahun iaitu setara dengan hukuman rogol dan persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan. Apa yang perlu dititikberatkan ialah keganasan terhadap wanita dan bukan sama ada organ seks digunakan.

Walaupun perkataan lucah ke atas pekerja wanita yang berlaku di tempat kerja merupakan satu jenayah di bawah seksyen 509 tetapi disebabkan kebanyakan kes gangguan seks hanya melibatkan si pesalah dan mangsa tanpa kehadiran orang ketiga serta tiada kecederaan fizikal, maka amatlah sukar untuk memenuhi piawaian pembuktian di bawah undang-undang jenayah iaitu tanpa keraguan yang munasabah. Dalam aspek ini, mangsa gangguan seks seolah-olah tiada perlindungan di bawah undang-undang jenayah.

Keganasan rumahtangga bukan satu kesalahan jenayah di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1993. Dalam kes Chan Ah Moi lwn Phang Wai Ann , Hakim Yang Arif Abdul Malik Ahmad mengulas secara obiter dicta bahawa Akta Keganasan Rumah Tangga menjadi suatu harimau tanpa gigi kerana kebanyakan keganasan rumahtangga melibatkan serangan dan oleh kerana serangan merupakan suatu kesalahan tidak boleh ditangkap, maka pihak polis perlu mendapat kelulusan Timbalan Pendakwaraya sebelum menjalankan penyiasatan. Dengan kata lain, mangsa terpaksa berhadapan dengan kelengahan birokrasi.

Sementara itu, persetubuhan paksa oleh suami ke atas isteri dengan kekerasan tidak dianggap sebagai rogol oleh undang-undang Malaysia. Pada pandangan Barry Hill dan Karen Fletcher-Rogers, rukun yang telah dinyatakan oleh Sir Matthew Hale pada tahun 1736 yang menyatakan seorang isteri memberi satu persetujuan umum kepada suaminya tentang semua persetubuhan pada masa akan datang adalah ketinggalan zaman. Dalam hubungan ini, mahkamah di Amerika Syarikat dan England telah memutuskan seorang suami boleh disabit jenayah rogol walaupun masih dalam perkahwinan.
Bahan-bahan lucah dalam bentuk filem, VCD dan seumpamanya harus disekat. Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2001 harus dikuatkuasakan. Bahan-bahan lucah yang memberi gambaran bahawa wanita bergaul bebas memberi satu pendidikan yang salah dan menyimpang. Adalah malang sekali, bahan lucah disalahguna sebagai pendidikan seks. Tetapi, malangnya Akta Penapisan Filem tidak diberi kuasa untuk menguatkuasa bahan lucah dari Internet. Kita harus mengkaji semula polisi dalam jaminan Multimedia Super Corridor bahawa tiada tapisan akan dilakukan ke atas Internet.


Penutup

Sebenarnya, masih terdapat kes-kes jenayah terhadap wanita yang tidak dilaporkan. Kes-kes tersebut tidak dapat ditentukan bilangan dan sistem keadilan jenayah akan gagal sekiranya ia tidak dapat membantu mangsa sementara pesalah tidak dihadapkan ke muka pengadilan dan menunggu peluang untuk mencari mangsa yang seterusnya.

Oleh itu, usaha pengukuhan sistem keadilan jenayah dari segi prosedur laporan, pendakwaan, forensik serta kaunseling harus diber perhatian.

Pada pandangan saya, di samping memperkemaskan undang-undang jenayah serta memperkukuhkan system keadilan jenayah, pendekatan bukan undang-undang harus juga diambil.

Dalam masyarakat moden ini, undang-undang telah menjadi agensi paling utama dalam kawalan sosial. Institusi keluarga moden yang berbentuk nukleus semakin hilang pengaruhnya dalam kawalan disiplin ahli keluarga. Kawalan sosial yang merupakan tekanan sebaya ke atas setiap orang supaya dia memainkan peranannya dalam mendukung masyarakat bertamadun dan menghalangnya daripada tindakan yang anti-sosial harus dipikul bersama oleh institusi agama, pendidikan , keluarga serta komuniti setempat.